TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah yang ditemukan mati disyaki dibunuh di kawasan Felda Gedangsa, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada pukul 6 petang semalam.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, segenap universiti itu berdukacita atas pemergian alumni universiti tersebut.
“Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan UPSI akan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada pihak keluarga mangsa dalam membantu urusan mereka,'” katanya di sini semalam.
Nur Farah Kartini merupakan alumni Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) universiti tersebut.
Media melaporkan, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat wanita tersebut ditemukan di kawasan Felda Gedangsa, Kuala Kubu Bharu.
Terdahulu media melaporkan seorang wanita hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan dengan lokasi terakhirnya di Taman Universiti di sini.
Pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan Nur Farah Kartini yang berasal dari Sarawak yang juga bekas penuntut UPSI pada 1.56 pagi 10 Julai lalu.
Nur Farah Kartini disedari hilang pada 10 Julai lalu sebelum laporan polis dibuat keesokan harinya.
Mangsa yang berasal dari Miri, Sarawak itu dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya.
Kehilangan mangsa disedari selepas dia gagal masuk ke pejabat dan kali terakhir dilihat memakai baju korporat muslimah warna biru jeans, bertudung dan berseluar hitam. – UTUSAN











