UMNO tidak boleh terbuai kejayaan lepas

UMNO tidak boleh terbuai kejayaan lepas

Khaled Nordin ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pontian 2024. - FACEBOOK KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO tidak boleh terbuai dengan kejayaan lepas dan berasa selesa kerana ia boleh mendatangkan kerugian. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, parti itu perlu terus mencurahkan khidmat bakti dan kasih sayang yang akhirnya dapat membangunkan kesejahteraan kepada rakyat.

“Perjuangan UMNO bersifat kebangsaan dan negara amat memerlukan parti yang bersifat kebangsaan. Kerana perjuangan inilah Malaysia mengecapi kemerdekaan, membidani perlembagaan negara dan sebagainya. 

“Malah UMNO adalah satu-satunya parti mempunyai hubungan dengan pendiri-pendiri bangsa. Maka wajarlah kita untuk terus memelihara dan mempertahankannya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook. 

Selain itu, katanya, ahli UMNO juga mesti menonjolkan keunggulan dan keunikan parti sebagai gerakan kebaikan dan pencerahan. 

Katanya, pelbagai pencerahan yang telah diungguli oleh UMNO antara lain penubuhan Felda, Tabung Haji dan terkini inisiatif pendidikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi anak-anak orang Melayu. 

“Semua ini perlu diuar-uarkan bagi mengangkat peranan UMNO yang membezakan dengan parti-parti yang lain.

“Ketahuilah, keberadaan UMNO dalam kerajaan hari ini sebagai jajaran strategi politik dan bukannya prinsip dan nilai. Malah, UMNO kekal menjadi satu-satunya jurucakap orang Melayu yang memperjuangkan soal kepentingan dan nasib mereka. 

“Dengan sedikit kuasa yang ada, selain dapat berkhidmat dengan baik, kita juga mempunyai kesempatan untuk memulih dan merawat semula parti ini,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN