KUALA SELANGOR: UMNO Selangor akan mengambil alih proses pemilihan semula Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang yang digantung sejak Mei tahun lalu.
Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata, pemilihan pada 27 Julai depan itu bakal berlangsung di ‘gelanggang’ berkecuali di Dewan UMNO Bahagian Kuala Selangor.
Jelas beliau, pihaknya berharap pemilihan itu berjalan lancar dan tiada lagi aduan seperti pemilihan sebelumnya.
“Terima kasih kepada Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dapat mengadakan pemilihan berkenaan.
“Hasrat kami akhirnya tiba ke destinasinya bagi melengkapkan sayap wanita bahagian,” katanya pada sidang akhbar, malam tadi.
Tambah Sulaiman, seramai 510 perwakilan wanita pada tahun lalu layak hadir bagi memilih calon yang bertanding.
“Senarai calon juga terdiri dalam kalangan mereka yang bertanding pada pemilihan sayap itu. Proses pengundian dijadualkan bermula pukul 8 pagi dan dijangka tamat 5 petang sebelum pengiraan dijalankan,” ujarnya.
Pada pemilihan 11 Mac tahun lalu, jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang menyaksikan pertembungan dua penjuru antara penyandang, Datuk Habibah Mohd. Yusof yang dicabar Naibnya, Nor Azizah Ahmad.
Nor Azizah memperoleh 285 undi menewaskan Habibah yang mendapat 152 undi dengan majoriti 133 undi.
Namun, Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) menghantar surat bahawa mesyuarat perwakilan sayap itu tidak sah kerana ketidakaturan mesyuarat.
Pada 26 Mei tahun lalu, MKT memutuskan Wanita UMNO bahagian itu digantung, bagaimanapun pemilihan semula ditangguhkan. – UTUSAN










