JELI: UMNO memuktamadkan nama calon yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang di sini pada minggu depan.
Presidennya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan akan membawa senarai nama yang diperoleh dari UMNO Bahagian Gua Musang ke biro politik diputuskan.
“Saya menghargai surat yang telah diutuskan oleh Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah serta senarai nama calon untuk DUN Nenggiri.
“Calon UMNO yang akan bertanding di Nenggiri mesti mempunyai kriteria ‘wali’. Ia merujuk kepada winnability (boleh menang), acceptability (kebolehterimaan) dan likeability (disenangi),” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli di Bukit Bunga, di sini hari ini.
Ahmad Zahid memberitahu, BN tidak akan mengambil mengambil PRK Nenggiri sebaliknya akan terus mendekati kumpulan-kumpulan yang tidak keluar mengundi pada pilihan raya lalu.
Katanya, bagaimanapun belia yakin BN mampu merampas semula kerusi tersebut pada PRK nanti.
“Sebelum ini BN hanya tewas dengan majoriti 810 undi sahaja. Situasi ketika ini sudah berubah dan saya yakin kita boleh menang.
“Bagaimanapun kita akan ambil bukan dan terus mendekati kumpulan-kumpulan yang tidak keluar mengundi pada pilihan raya lalu.
“Ini (Nenggiri) merupakan kerusi BN. BN akan bekerja keras untuk menang,” ujarnya.
Pada 13 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.
Ia selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Bersatu mengenai pengguguran keahlian bekas ADUN Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim daripada Bersatu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.-UTUSAN










