Tommy gagal batal saman Shahrir

Tommy gagal batal saman Shahrir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas gagal membatalkan saman yang difailkan veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad yang menuntut ganti rugi RM30 juta kerana didakwa secara salah di mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar memutuskan demikian pada prosiding yang dijalankan dalam kamar mahkamah di sini hari ini. Mahkamah turut menetapkan 11 September ini untuk pengurusan kes.

Perkara itu disahkan oleh peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Shahrir dan peguam, Mervyn Lai bagi pihak Tommy ketika dihubungi media.

Pada Februari lalu, Tommy memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Shahrir atas alasan saman itu adalah penyalahgunaan proses mahkamah dan tidak boleh dipertahankan.

Selain itu, Tommy juga menyatakan, Peguam Negara mempunyai budi bicara untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding.

Pada 4 Disember 2023, Shahrir yang juga bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memfailkan saman itu dengan menamakan Tommy, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, SPRM dan Kerajaan Malaysia.

Berdasarkan penyataan tuntutan, bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) selaku plaintif itu mendakwa, selepas berlakunya perubahan kerajaan yang sebelum ini dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH), ramai ahli-ahli politik daripada pelbagai latar belakang dan dari UMNO yang disiasat oleh SPRM.

Ujarnya, dirinya juga telah sasaran siasatan dan didakwa secara terpilih dengan niat jahat.

Pada 21 Oktober 2020, Shahrir telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 10 tahun lalu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut Shahrir, pertuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah bertentangan dengan aduan yang dibuat oleh seorang individu bernama Mariana Md. Isa dan bertentangan dengan tujuan Notis Tawaran Kompaun yang telah diserahkan kepadanya bagi tujuan mendapatkan kembali wang yang diselewengan daripada 1MDB.

Tambah plaintif, keterangan beberapa orang saksi sewaktu perbicaraan mendedahkan bahawa Sharir telah dituduh sebelum siasatan terhadapnya selesai.

Sehubungan itu, Shahrir mendakwa semua defendan secara bersama atau berasingan telah melakukan siasatan dengan niat jahat, penangkapan secara salah pendakwaan berniat jahat (malicious prosecution) dan misfeasans (salah laku) di pejabat awam.

Sharir mendakwa akibat perbuatan kesemua defendan beliau telah dihina, reputasinya tercemar dan plaintif terpaksa menanggung malu serta mengalami tekanan mental, jiwa dan raga.

Oleh itu, Shahrir menuntut satu pengisytiharan bahawa kesemua defendan telah melakukan siasatan, tangkapan dan pendakwaan secara salah serta telah melakukan misfeasens dalam pejabat awam.

Selain itu, Shahrir menuntut pampasan RM20 juta atas penyiksaan mental, jiwa dan raga serta kerosakan reputasinya serta ganti rugi am dan teladan berjumlah RM10 juta.

Turut dimohon ialah permohonan maaf tanpa syarat, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN