KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz membidas tindakan pembangkang yang menjadikan penulisan Tan Sri Tommy Thomas mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) sebagai rujukan.
Tengku Zafrul menyatakannya selepas Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang memetik penulisan bekas Peguam Negara itu yang mengatakan perjanjian antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) itu paling teruk sejak negara Merdeka.
“Sekarang tiba-tiba hendak junjung tulisan bekas Peguam Negara yang dahulunya mereka sendiri serang habis-habisan, dulu dituduh tidak faham sensitif politik tetapi hari ini tiba-tiba dijadikan rujukan utama pulak.
“Kalau (dahulu) setiap hari menuduh beliau (Tommy) tersilap mengurus kes-kes yang besar dekat negara kita ini, tidak adil pula kita mengangkat tulisan Tommy sebagai kitab muktamad apabila ia selari dengan naratif politik,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Tommy melalui portal berita tempatan mengkritik perjanjian perdagangan yang ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump.
Tommy berkata, pelbagai komitmen yang dikenakan ke atas Malaysia menunjukkan bahawa mereka yang terlibat dalam rundingan itu langsung tidak berunding.
Mengulas mengenai penulisan itu, Tengku Zafrul berkata, beliau sangat tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Tommy.
“Dalam artikel 37.1 juga secara ringkas mengiktiraf hak dan obligasi sedia ada Malaysia di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) termasuk hak untuk melindungi keselamatan negara dan mengambil langkah perdagangan yang perlu. ART tidak meminda Perlembagaan,” katanya.
Tambahnya, Malaysia tidak terikat dengan ART selama-lamanya kerana artikel 37.3 menjelaskan bahawa mana-mana pihak boleh memohon pindaan.
“Saya rasa itu yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri tetapi kedua-dua pihak mesti mempertimbang secara good fate, di bawah artikel 37.5, Malaysia boleh menamatkan ART dengan notis bertulis, selepas 180 hari, perjanjian ini akan tamat.
“Malah, artikel 37.2 sendiri menetapkan perjanjian hanya berkuat kuasa selepas kedua-dua pihak melengkapkan prosedur masing-masing,” katanya. – UTUSAN










