ARAU: Terdapat tiga sektor yang menjadi prospek dikenalpasti boleh diteroka menerusi kerjasama Perlis dan Singapura.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr. Azfar Mohamad Mustafar berkata, kerjasama tersebut merangkumi bidang pelancongan, pendidikan dan ekonomi.
Katanya, sektor pelancongan antaranya mampu menjadi antara prospek kerjasama tersebut berikutan Perlis juga adalah sebagai pintu masuk atau gateway ke Selatan Thailand.
“Sektor pendidikan pula boleh diteroka meliputi aspek pertukaran pelajar atau tenaga pengajar manakala bidang ekonomi berpotensi dikukuhkan menerusi penubuhan kawasan industri dan pengeksportan hasil pertanian terpilih seperti Harumanis Perlis,” katanya berkongsi perkembangan itu kepada Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena lawatan kerja baginda ke Singapura baru-baru ini.
Tuanku Syed Faizuddin juga mengetuai delegasi jawatankuasa kewangan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke negara berkenaan.
Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan pelancaran promosi masakan Perlis iaitu kurma daging Perlis yang buat julung kalinya diadakan di Singapura.
Promosi dianjurkan oleh restoran berkenaan dengan kerjasama MAIPs, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) sempena kempen promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs)2024/2025.
Untuk rekod, berdasarkan maklumat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, sebanyak tiga juta ketibaan pelancong dari Singapura direkodkan bagi suku pertama tahun ini, iaitu peningkatan 40 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.
Buat masa ini, ramai rakyat Malaysia yang bermastautin di Singapura khususnya atas faktor pekerjaan dan sebahagian besarnya memegang status penduduk tetap (PR).
Dalam masa sama, dianggarkan seramai 250,000 hingga 300,000 rakyat Malaysia berulang alik dari Johor ke Singapura pada setiap hari. – UTUSAN










