PETALING JAYA: Pelakon, Scha Elinnea, berpendapat tidak salah sekiranya seseorang mahu melakukan rawatan kosmetik demi menambah keyakinan diri.
Menurut pelakon Hati Tanpa Rasa itu, mengubah wajah adalah pilihan setiap individu asalkan tidak menyusahkan mana-mana pihak.
“Saya rasa tidak salah, apalagi jika itu membuatkan kita rasa lebih baik tentang diri sendiri. Saya ada buat, tapi itu diri saya.
“Ramai sahaja orang lain yang buat, baik artis atau bukan, untuk tambah keyakinan diri. Asalkan tidak kacau orang, tak mengapa. Bila bangun pagi tengok wajah di cermin dan rasa ‘oh cantik saya hari ini’,” katanya.
Scha berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan warganet yang mengatakan wajah pelakon itu tampil berbeza selepas membuat rawatan bibir.
Maklum dengan komen negatif mengenai wajahnya di internet, gadis asal Kedah tersebut sudah lali dan enggan terlalu memikirkannya demi menjaga kesejahteraan mental.
“Kita tidak boleh tutup mulut orang. Jika ada komen negatif, saya selalu berterima kasih sebab ia beri kesedaran juga kepada saya.
“Cuma, saya tidak ambil hati. Pandangan orang terhadap kita, tak boleh halang.
“Saya juga tidak rasa patut tapis sebarang komen kerana saya jenis tidak baca (komen). Sekarang kalau ada masa lapang, saya baca buku kerana komen negatif akan beri kesan kepada kesihatan mental saya,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.
Selain isu bibir, turut menjadi perhatian ialah lukisan seakan-akan tatu yang terdapat di kaki kiri pelakon tersebut.
“Saya pilih untuk tidak jawab perkara itu kerana semua orang pernah buat silap dan ada masa silam.
“Saya banyak buat salah dan sedang perbaiki diri untuk masa depan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Scha bakal tampil dalam siri terbaharu bertajuk Anak Anak Mafia mengisahkan tentang Andra, seorang pemuda yang ingin membalas dendam di atas kematian ayah dan ibunya.
Turut sama menjayakan drama yang bakal memulakan penggambaran minggu hadapan ini ialah Mierul Aiman, Fitri Farok dan Zhen Ning.