Tiada kekosongan kerusi enam bekas ahli Bersatu 

Tiada kekosongan kerusi enam bekas ahli Parlimen Bersatu 

MUHYIDDIN Yassin (tengah) bersama ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dalam sidang akhbar di pusat media Parlimen  semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memaklumkan bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memutuskan enam bekas ahlinya kekal sebagai wakil rakyat dan tidak berlaku kekosongan kerusi Parlimen. 

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu perkara itu menerusi surat yang dinyatakan Johari bertarikh 9 Julai 2024.

Sehubungan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memaklumkan bahawa partinya memutuskan mengambil langkah susulan melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan parti. 

Muhyiddin berkata, keputusan itu diambil selepas Bersatu menerima surat daripada Johari yang menyatakan, tidak berlaku kekosongan enam kerusi bekas ahli Bersatu di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan. 

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, keputusan Johari amat mengecewakan kerana jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan. 

“Keputusan Speaker memberikan alasan-alasan dangkal dan tafsiran songsang menunjukkan beliau mencemar Perlembagaan Persekutuan sedangkan beliau telah berikrar menjunjung dan mempertahan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang negara,” katanya dalam sidang akhbar di pusat media Parlimen di sini hari ini.  

Muhyiddin merujuk Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika seseorang wakil rakyat tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik.

Jelasnya, di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, sebarang pentafsiran perlembagaan parti politik oleh parti tersebut adalah muktamad dan konklusif.  

“Jelas bahawa enam Ahli Dewan Rakyat tersebut tidak lagi menjadi ahli Bersatu berikutan dengan peruntukan perlembagaan Bersatu. 

“Bersatu memutuskan enam ahli Dewan Rakyat ini adalah telah terhenti keahliannya. Pentafsiran Bersatu terhadap perkara ini adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayu, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoal,” katanya. 

Sementara itu, merujuk kepada Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman, Muhyiddin berkata, Johari memberi alasan remeh dan enggan mengisytihar kekosongan kerusi tersebut setelah Suhaili memulakan tindakan mahkamah yang menyalahi peruntukan Perlembagaan Bersatu. 

Bagaimanapun, Muhyiddin tidak menjelaskan secara terperinci alasan-alasan yang diberikan Johari dalam sidang akhbar sebentar tadi. 

“Saya menyeru Speaker menegakkan tujuan dan hasrat sebenar peruntukan 49A Perlembagaan Malaysia yang bertujuan mengekang perbuatan khianat ahli Dewan Rakyat yang menodai mandat rakyat semasa pilihan raya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN