SEREMBAN: Para penjawat awam digesa terus mencari jalan untuk memudah dan menyegerakan urusan orang awam yang mendapatkan perkhidmatan daripada kerajaan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, walaupun kaedah yang diguna pakai ketika ini sudah pun baik, mereka mesti terus berusaha supaya orang ramai dapat menikmati perkhidmatan yang lebih baik.
Katanya, semua cara lama yang membebankan rakyat mesti ditinggalkan dengan memegang prinsip permudah dan segerakan urusan yang dilakukan.
“Tadi saya melawat kaunter Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Sembilan dan mendapati urusan mendapatkan salinan geran tanah hanya memakan masa setengah hari berbanding tempoh masa dahulu.
“Kerajaan negeri telah membuat banyak perubahan dan ini sangat baik untuk rakyat dan menepati gambaran sebagai kerajaan yang prihatin dengan keperluan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perkhidmatan kaunter PTG Negeri Sembilan di Wisma Negeri di sini hari ini.
Beliau yang diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd. Zafir Ibrahim turut singgah di kaunter MyPesara bagi beramah mesra dan menyampaikan sijil penghargaan kepada para kakitangan kerajaan yang bersara pada bulan ini.
Wan Ahmad Dahlan juga meminta semua ketua jabatan dan penyelia supaya membuat tinjauan di kaunter secara kerap untuk melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh orang ramai yang mendapatkan perkhidmatan.
“Ia bertujuan mengatasi rugutan orang ramai bahawa perkhidmatan yang diberikan tidak sama seperti apa yang ditawarkan kepada mereka,” ujarnya. – UTUSAN











