Syarikat minuman keras: Anthony Loke beri penjelasan esok 

Syarikat minuman keras: Anthony Loke beri penjelasan esok 

ANTHONY Loke Siew Fook ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program TVET Permotoran @ SMK Mantin di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Isu penglibatan syarikat minuman keras dalam pemberian sumbangan dan tajaan kepada pihak sekolah akan dibawa ke mesyuarat jemaah menteri, esok.

Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook memberitahu, penjelasan mengenai perkara itu akan diberikan kerana dalam kalangan masyarakat Cina, penglibatan syarikat minuman keras bagi mengumpul dana untuk sekolah-sekolah Cina sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu.

“Syarikat minuman keras telah menganjurkan program mengumpul dana untuk sekolah-sekolah Cina sejak 30 tahun lalu, saya juga ada menghadirinya. Selama ini tidak pernah menjadi isu, tanpa sebarang masalah, kenapa jadi masalah sekarang? ini sesuaru yang mesti kita faham bahawa ini bukan perkara baharu.

“Esok dalam mesyuarat Kabinet, saya akan berikan penjelasan juga kepada jemaah menteri bahawa dalam kalangan masyarakat Cina khususnya memang ada penganjuran program ini oleh syarikat-syarikat korporat minuman keras untuk anjurkan konsert-konsert amal.

“Biasanya program ini diadakan di luar sekolah dan restoran untuk kutip derma bagi pembangunan sekolah dan ia sudah berlangsung untuk 30 tahun, tidak menjadi apa-apa masalah dan tidak menjadi isu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program TVET Permotoran @ Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mantin di sini, hari ini.

Sebelum ni media melaporkan, sebuah sekolah rendah di Sepang, Selangor baru-baru ini telah menganjurkan konsert amal dengan penglibatan sebuah syarikat minuman keras yang merupakan antara penyumbang.

Susulan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan sedang melakukan siasatan lanjut berhubung isu berkenaan dan mengambil perhatian serius.

KPM turut mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan di bawahnya supaya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN