SHAH ALAM: Laporan sumbangan 25.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh Selangor seperti yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) membuktikan keyakinan komuniti perniagaan terhadap pertumbuhan ekonomi negeri ini.
Malah, berdasarkan laporan tersebut juga, Selangor dikatakan sekali lagi mencipta sejarah dengan nilai aktiviti ekonomi yang berjumlah RM406.1 billion, sekali gus menjadi negeri pertama mempunyai kitaran ekonomi melebihi RM400 billion.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan berkata, prestasi berkenaan menjadi peluang kepada peningkatan ekonomi negeri yang bukan sekadar bersifat jangka masa sederhana, tetapi mencapai pertumbuhan yang mampan.
“Meskipun begitu, kejayaan ini tidak harus diambil ringan dan mendorong seluruh pasukan negeri untuk menggunakan peluang ini supaya peningkatan ekonomi negeri tidak bersifat jangka masa sederhana tetapi mencapai pertumbuhan yang mampan.
“Ini termasuk meningkatkan prestasi ekonomi di peringkat daerah, prestasi perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT), mencari solusi mampan kepada cabaran perubahan iklim, menjamin kualiti infrastruktur sentiasa cekap, serta rejuvenasi bandar-bandar matang supaya negeri ini bukan sahaja maju tetapi berdaya huni,” katanya.
Tambahnya, hanya dengan pendekatan sedemikian dapat terus meyakinkan pelabur tempatan dan luar negara Selangor mampu menjadi negeri pelaburan pilihan utama di Asia Tenggara.
Terdahulu DOSM melaporkan Selangor merekodkan kejayaan baharu menerusi sumbangan sebanyak 25.9 peratus kepada KDNK Malaysia tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 0.4 peratus berbanding tahun 2022 iaitu 25.5 peratus.
Saiz dan nilai ekonomi Selangor adalah kekal terbesar meskipun jika digabungkan nilai ekonomi negeri-negeri seperti Johor, Sarawak, dan Pulau Pinang.
Malah pada masa sama, Selangor merupakan negeri dengan pertumbuhan ekonomi yang paling tinggi pada tahun 2023, iaitu peningkatan sebanyak 5.4% dari tahun 2022.
Dari segi prestasi perkembangan KDNK negeri, ekonomi negeri ini berkembang sebanyak RM103.9 billion sejak tahun 2017, bersamaan dengan peningkatan sebanyak 25.59 peratus.
Dalam pada itu, Amirudin mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan kerajaan negeri terhadap pencapaian tersebut dan menyifatkan ia bukanlah kejayaan individu sebaliknya pasukan secara keseluruhan.
“Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan pentadbiran Selangor, termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), pentadbiran di daerah dan PBT, serta komuniti pelabur dan setiap pekerja di negeri ini yang menyumbang kepada prestasi ekonomi,” ujarnya. – UTUSAN










