PETALING JAYA: Golongan isteri yang dijadikan tahanan Zionis di Gaza akan diperlakukan dengan kejam tanpa belas kasihan seperti didera, dicabul dan dirogol.
Suami dan ahli keluarga pula dipaksa untuk melihat isteri mereka dirogol Zionis dan akan ditembak sekiranya mereka memejam mata dari menyaksikan perbuatan kejam itu.
Warga Malaysia yang pernah menetap di Gaza, Nurul Ain Haron berkata, keadaan di sana 50 kali ganda lebih teruk sebelum dia keluar dari wilayah itu 13 November tahun lalu.
“Hanya sebilangan golongan wanita didera, selebihnya ditangkap dan terus dirogol. Kanak-kanak di Gaza pula kebanyakannya terus dibunuh di tempat kejadian.
“Berbeza dengan mereka di Tebing Barat, kanak-kanak di sana ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara dan tidak tahu bila akan dibebaskan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sehingga 6 Julai, seramai 38,098 warga Palestin yang terkorban dalam serangan Zionis sejak 7 Oktober tahun lalu dan kawasan yang dikepung menghadapi kekurangan makanan, perubatan dan bekalan kemanusiaan.
Semalam, puluhan warga Palestin terbunuh termasuk lima orang wartawan ketika tentera Zionis meningkatkan serangannya ke atas wilayah tersebut.
Jelas Nurul Ain, ramai tahanan yang ditangkap berisiko dibunuh dengan alasan mereka merupakan orang bawahan Hamas.
“Ramai golongan doktor terbunuh dalam tahanan sewaktu soal siasat. Zionis menuduh mereka sebagai orang bawahan Hamas.
“Jika tentera Zionis memasuki rumah mereka dan menjumpai ibu serta anak-anak, kadangkala ibu dibunuh, anak-anak dibiar sahaja. Ada juga anak-anak mereka dibunuh, ibu dan bapa ditangkap menjadi tahanan,” katanya.
Menurutnya, mereka yang ditahan hanya diberi makan suku biji tomato, sesudu keju dan sesuap roti sahaja setiap hari sehingga badan mereka hanya tinggal kulit dan tulang serta tidak lagi mampu berdiri. – UTUSAN











