Bekas wartawan perlu bantuan

Bekas wartawan perlu bantuan

SITI Rukiah Hashim menemani Nazeri Nong Samah yang menghidap strok di Hospital Serdang, Selangor.– MINGGUAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Selepas 36 tahun mengabdikan diri merakam kisah kehidupan masyarakat, bekas wartawan Utusan Malaysia, Nazeri Nong Samah, 66, kini berdepan dugaan kesihatan apabila terlantar akibat penyakit jantung dan strok.

Anak kelahiran Kampung Durian Hijau, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang itu kini tidak mampu menggunakan kedua-dua kakinya dan memerlukan penjagaan rapi selepas kesihatannya merosot susulan terjatuh di bilik air.

Isterinya, Siti Rukiah Hashim, 64, yang tidak bekerja, kini menguruskan keperluan harian suaminya, termasuk mendapatkan barangan penjagaan dan keperluan pemulihan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak suami jatuh sakit dan terlantar, saya yang menguruskan keperluannya setiap hari. Buat masa ini, kami sangat memerlukan bantuan untuk membeli susu berkhasiat, vitamin yang sesuai, lampin pakai buang serta peralatan bagi memudahkan penjagaannya.

“Saya berharap ada pihak yang sudi membantu meringankan beban kami, terutama bagi memastikan suami mendapat penjagaan yang diperlukan sepanjang tempoh pemulihan,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Taman Pandan Jaya, di sini.

Nazeri memulakan perjalanan kewartawanan ketika menyertai Utusan Melayu sebagai penulis sambilan pada 1976 sebelum dilantik sebagai pemberita tetap. Beliau berkhidmat dalam Kumpulan Utusan sehingga bersara pada 2018.

Beliau pernah bertugas di Temerloh sebelum berkhidmat di Sabah dari 1980 hingga 1982, selain menggalas tanggungjawab sebagai Pengarang URTV dari 1984 hingga 1987.

Sepanjang kerjayanya, beliau berpeluang menemubual tokoh seni seperti Allahyarham Sudirman Haji Arshad dan Allahyarhamah Sharifah Aini, selain Anita Sarawak.

Beliau turut menemubual pemimpin negara termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Siti Rukiah Hashim, 1622 5478 1114, atau menghubungi talian 010-2508269. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini