Siti Nurhaliza mahu taja 20 pasangan buat rawatan IVF - Utusan Malaysia

Siti Nurhaliza mahu taja 20 pasangan buat rawatan IVF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza, berhasrat menaja 20 pasangan menjalani kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) sebagai ikhtiar mendapatkan zuriat.

Tawaran tajaan tersebut dilakukan menerusi Yayasan Nurjiwa yang hanya memerlukan suami isteri mendaftar di platform berkenaan untuk saringan awal.

“Assalamualaikum, saya ingin berkongsikan berita gembira kepada semua pasangan yang telah lama mendirikan rumah tangga dan sedang berusaha mendapatkan cahaya mata.

“Kalian boleh memohon dalam program IVF Nurjiwa: Sempurnakan Sebuah Cinta dengan hanya penuhi kriteria diperlukan.

“Permohonan terhad kepada 20 pasangan sahaja. Selamat mencuba dan semoga impian anda semua jadi kenyataan,” katanya menerusi sebuah video di aplikasi TikTok.

Mengintai ruangan komen, rata-rata peminat memuji sikap murah hati yang ditunjukkan penyanyi Biarlah Rahsia itu.

“Subahanallah, semoga semakin mencurah-curah rezeki,” tulis satu komen.

“Setahu saya rawatan ini tidak murah ya. Datuk Siti teruskan melakukan perkara baik, hanya Allah mampu membalasnya,” kata komen yang lain.

“Inilah dia contoh apabila seorang ibu mahu orang lain juga merasa menjadi ibu,” kata seorang peminat.

Terdahulu, Siti pernah berkongsi pengalamannya menjalani rawatan IVF bagi mendapatkan dua orang cahaya mata iaitu Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN