SHAH ALAM: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi menyelenggara parit dan longkang tidak bertuan lebih 300 kilometer (km) di seluruh negeri secara berperingkat melibatkan kawasan di bawah pelbagai agensi.
Peruntukan tersebut kini di bawah peringkat perolehan untuk dilaksanakan dan penyelenggaraan disasarkan selesai sebelum peralihan Monsun Timur Laut (MTL) pada Oktober ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, peruntukan tersebut diberikan bagi menyelesaikan isu aduan terhadap isu penyelenggaraan parit dan longkang tidak bertuan akibat masalah teknikal berhubung agensi bertanggungjawab.
Menurutnya, peruntukan itu dilaksanakan melalui dua peringkat selepas ia diluluskan di bawah Mesyuarat Penyelarasan Isu Jalan, Longkang dan Parit Tidak Bertuan.
“Kita mendapat kelulusan untuk melaksanakan satu kerja-kerja pembersihan secara one-off kepada semua parit dan longkang yang tidak bertuan sebanyak RM5 juta, dalam proses perolehan sekarang.
Fasa pertama, RM2.5 juta melibatkan 162 km di bawah JPS, fasa kedua RM2.5 juta lagi parit dan longkang yang dikenalpasti oleh JKR, PBT dan pejabat daerah, yang akan disiapkan sebelum Oktober ini.
“Kita akan melaksanakannya, kita sudah kenal pasti keseluruhannya lebih 300 kilometer. Pelbagai jenis longkang dan parit di bawah pelbagai agensi saya sebutkan tadi,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib, Rosnizan Ahmad pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-15 Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Dalam pada itu, Izham yang juga ADUN Pandan Indah memaklumkan kerajaan negeri akan menggubal dasar berkenaan penyelenggaraan parit dan longkang tidak bertuan supaya ia dapat diselesaikan bermula tahun hadapan.
“Kita juga akan menyiapkan dan mendapat syor kertas dasar berhubung siapa yang akan menguruskan parit dan longkang tidak bertuan.
“Kena ada tuan juga akhirnya sebelum akhir tahun ini supaya peruntukan dapat disediakan pada tahun hadapan bagi membolehkan mereka mula menguruskannya,” jelasnya.
Jelas Izham lagi, penyelenggaraan parit dan longkang tidak bertuan bukan perkara baharu dan timbul berpuluh tahun apabila timbul isu agensi menafikan penyelenggaraan bukan di bawah tanggungjawab agensi yang diadukan masalah berkenaan.
“Jalan persekutuan, paritnya adalah di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) bukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kenapa berlaku tidak diurus dengan baik, masalah ini berlaku berpuluhan tahun, bukanlah saya hendak memberikan alasan, saya hendak cerita, di bawah JKR kalau longkang jalan melebihi 1.2 meter lebar mereka tidak akan uruskan, ia di luar skop mereka.
“Perkara itu, JPS diminta untuk buat, tetapi mereka kata ia bukan parit mereka. Jadi, ia antara perkara masuk dalam isu parit tidak bertuan yang perlu diuruskan, bukan sahaja berlaku di Selangor tetapi di seluruh negara yang mana berlaku isu teknikal, siapa yang kena uruskan,” ujarnya. – UTUSAN









