(BN) tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk datang membantu kempen parti itu dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri tidak lama lagi.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa yang penting ialah memastikan kemenangan calon BN nanti.
Beliau berkata, surat tular yang mendakwa BN tidak membenarkan empat individu termasuk Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk berceramah sepanjang PRK Nenggiri nanti adalah palsu.
“Surat palsu bermakna surat layang. Tidak ada kebenaran. Kita mengalu-alukan semua pihak yang boleh memenangkan calon BN di Nenggiri,” katanya selepas menyampaikan Perutusan Pemukiman Program Utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Pusat Konvensyen Desaru Coast, Bandar Penawar, dekat sini, semalam.
BN dalam hantaran di laman Facebook semalam menyifatkan kenyataan palsu seperti itu adalah permainan politik untuk memecah-belahkan perpaduan dalam kerajaan dan parti gabungannya.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengakui langkah memperkenalkan calon PRK Nenggiri lebih awal memberi kelebihan kepada BN.
Presiden UMNO itu berkata, calon BN, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani sudah mula ‘bergerak’ untuk menemui para pengundi di kawasan tersebut.
PRK DUN Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas penyandang Mohd. Azizi Abu Naim digugurkan keahlian daripada Bersatu apabila menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 17 Ogos depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal, masing-masing pada 3 dan 13 Ogos ini. – UTUSAN










