PETALING JAYA: Semua ahli jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) diingatkan meninggalkan ‘topi parti politik’ dinaungi masing-masing semasa menjalankan tugas dalam jawatankuasa itu.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, PAC adalah di bawah Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang wujud sejak 1959 atau 65 tahun lalu dan seharusnya kredibiliti jawatankuasa tersebut sebagai non-partisan terus dijaga dan dipelihara
“Topi parti perlu ditinggalkan semasa menjalankan tugas dalam jawatankuasa ini memandangkan semua keputusan PAC dibuat secara konsensus.
“Segala perkara yang berlaku di dalam jawatankuasa ini tidak boleh dibawa keluar dan juga sebaliknya,” kata beliau pada majlis pertukaran jawatan Naib Pengerusi PAC, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.
Shu Qi dan Suh Sim kedua-dua daripada DAP.
Bagaimanapun, menurut beliau, seluruh ahli jawatankuasa mengalu-alukan pelantikan dan kehadiran Teresa kerana beliau adalah antara ahli parlimen sejak 1999 dan bekas menteri.
Teresa menggantikan Shu Qi sebagai Naib Pengerusi PAC selepas menteri di Jabatan Perdana Menteri membentangkan usul sebelum diundi ahli parlimen.
Pertukaran jawatan Shu Qi juga susulan lantikan beliau sebagai Pengerusi Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma). – UTUSAN








