Selangor selesai lantik 373 ketua kampung - Utusan Malaysia

Selangor selesai lantik 373 ketua kampung

Ketua kampung
AMIRUDIN Shari menyerahkan watikah kepada Pengerusi JPKK yang dilantik bagi penggal 2024-2025 dekat Hotel Concorde, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN /SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polemik pelantikan 373 ketua kampung di negeri ini berakhir apabila penyerahan watikahnya dibuat bagi melantik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemilihan ketua kampung dibuat Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail dengan perbincangan bersama di antara pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan peringkat negeri.

“Kita hormati Barisan Nasional (BN) yang tidak melantik wakil untuk menjadi Pengerusi JPKK. Namun, saya memberi kelonggaran kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari BN Selangor untuk memilih minima 10 wakil Pengerusi JPKK.

“Alhamdulillah kita berjaya menyelesaikan hal (pelantikan ketua kampung) dengan baik,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelantikan dan Penyerahan Watikah Pengerusi JPKK Kampung Tradisi Selangor, hari ini.

Sebelum ini pelantikan JPKK negeri ini dilapor menimbulkan polemik apabila UMNO Selangor mengembalikan semula 75 jawatan ketua kampung yang ditawarkan kepada mereka.

75 jawatan ketua kampung tersebut diberikan kepada UMNO Selangor adalah di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar dan Dusun Tua, yang dimenangi ahli parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

Dalam pada itu, Amirudin mengingatkan kepada ketua kampung yang dilantik supaya melakukan tugas sebaik mungkin di kampung mereka, supaya penduduk di kawasan mereka dapat hidup selesa.

“Saya mengingatkan supaya mereka memahami hal-hal pentadbiran (pengurusan kampung) dan sentiasa bekerjasama dengan jabatan serta agensi di bawah kerajaan pusat dan negeri.

“Kejayaan mereka menguruskan kampung akan memberikan impak yang baik dan positif kepada imej kerajaan negeri dan sekaligus menjadi salah satu kayu ukur bagi rakyat membuat pemilihan parti politik mana yang mereka akan undi pada pilihan raya akan datang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN