Inisiatif semikonduktor UiTM perkukuh daya saing negara

Inisiatif semikonduktor UiTM perkukuh daya saing negara

Semikonduktor
ZAMBRY Abd. Kadir berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Semikonduktor@UiTM di Shah Alam. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pembangunan bakat-bakat baharu bagi sektor semikonduktor terutama melibatkan mahasiswa-mahasiswa perlu diperkasakan untuk memastikan negara ini tidak ketinggalan dalam merebut peluang ekonomi.

Usaha ke arah itu penting apabila sektor tersebut menyumbang kepada nilai eksport negara hampir RM390 bilion pada tahun lalu iaitu melebihi 40 peratus daripada keseluruhan perdagangan tersebut.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, perubahan industri bergerak begitu pantas apabila dunia dijangka meneroka revolusi industri kelima (IR5.0) iaitu ‘quantum’.

“Dulu pada abad ke-18 atau 19, kita menyaksikan bagaimana enjin stim itu dapat menggerakkan mesin, disebut sebagai revolusi industri yang pertama. Kemudian kita pergi ke satu tahap revolusi lain disebut sebagai penggunaan elektrik sebagai IR2.0.

“Penggunaan komputer pula dalam IR3.0 dan IR4.0 melibatkan kecerdasan buatan (AI). Saya tak pasti, kelima mungkin quantum, (kerana) sekarang orang bercakap tentang Quantum termasuklah tentang kriptologi quantum dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Semikonduktor@UiTM di sini, hari ini.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) melaksanakan inisiatif semikonduktor menerusi peruntukan sebanyak RM20 juta diberikan pada tahun lalu bagi menyokong usaha negara memperkukuh kedudukan sebagai hab semikonduktor global dalam memenuhi permintaan industri terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Inisiatif tersebut juga bertujuan memperkukuh kapasiti UiTM dalam melahirkan graduan kejuruteraan elektrik dan elektronik yang memenuhi keperluan bagi industri semikonduktor sekali gus memperkukuh daya saing Malaysia dalam sektor teknologi tinggi.

Jelasnya, industri semikonduktor amat penting seperti mana kerajaan memperkenalkan Strategi Semikonduktor Kebangsaan sebagai pelan tindakan nasional bagi memastikan negara berada di hadapan dalam ekosistem yang baik.

“Ekosistem yang baik itu kita integrasikan dengan cutting-edge education. Sebagai contoh yang kita berikan kepada UiTM kerana diyakini mampu melaksanakan agenda besar itu. Maknanya UiTM kena berganjak dari segi kurikulumnya.

“Kalau sekiranya kurikulum masih lagi bertunjangkan kepada sistem lama, maka kita tidak akan dapat bersaing dengan apa yang ada di hadapan kita,” ujarnya.

Tambah Zambry, langkah tersebut termasuklah kerjasama antara universiti dan industri yang boleh mewujudkan peluang pembelajaran berasaskan pekerjaan (WBL).

“Kita perlu membuka cara belajar, tak boleh lagi sekadar duduk di kampus. Industri sebenarnya tempat untuk belajar. Seperti di Vitrox (Technologies Sdn. Bhd.) di Pulau Pinang, mereka beri ruang kepada mahasiswa kejuruteraan berada di situ.

“Kita juga kena ada nilai-nilai keusahawanan dengan penciptaan, program pemula yang boleh dilakukan universiti. UiTM terkenal dengan program-program seumpama itu, kembangkan dan perkukuhkan serta kenal pasti mahasiswa (berpotensi), bimbing mereka,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN