IPOH. Sekretariat Selamatkan Malaysia 2.0 hari ini menyerahkan memorandum kepada Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Tambun di Meru Raya di sini dengan beberapa tuntutan terhadap kerajaan.
Antara tuntutan tersebut meminta kerajaan segera menunaikan janji reformasi, menangani kos sara hidup rakyat, menjamin hak kebebasan bersuara dan menghapuskan amalan salah guna kuasa.
Tuntutan diserahkan oleh Pengerusi Sekretariat Selamatkan Malaysia 2.0, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz kepada Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Amir Sabri.
Terdahulu kira-kira 400 orang berhimpun pada himpunan Mahkamah Rakyat Hukum Anwar yang diadakan di kawasan lapang berhampiran bangunan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun yang juga Pusat Khidmat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Tun Faisal berkata, himpunan aman ‘Mahkamah Rakyat Hukum Anwar’ hari ini menggesa Perdana Menteri meletak jawatan atas dakwaan gagal menunaikan janjinya sepanjang 18 bulan pentadbirannya.
“Kita pilih Tambun untuk mengadakan himpunan aman ini kerana di sinilah tempat di mana kita mahu bawa suara rakyat tepat kepada yang empunya diri.
“Dengan kegagalan beliau sepanjang 18 bulan ini, kita minta dia letak jawatan,” katanya kepada pemberita.
Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard; peguam dan aktivis, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis.
Lebih 400 peserta menyertai himpunan yang bermula pukul 3.45 petang itu di mana mereka yang berpakaian serba hitam melaungkan reformasi.
Himpunan yang berakhir pada pukul 5.15 petang itu berlangsung aman tanpa provokasi sambil dipantau anggota polis yang bertugas.
Sementara itu, Mohamad Hairul berkata, Kerajaan Perpaduan sentiasa bersifat terbuka untuk mendengar pandangan dan kritikan daripada mana-mana pihak selagi ia tidak menjejaskan keharmonian masyarakat serta mengikut lunas undang-undang.
Katanya, memorandum itu akan disampaikan kepada Ahli Parlimen Tambun yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu hadapan.
“Kita terima (memorandum) dan daripada segi prinsip demokrasi, ini adalah kebebasan untuk mana-mana orang bersuara dan menyatakan ketidakpuasan hati.
“Bagaimanapun, ia harus mengikut lunas undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan negara,” katanya. – UTUSAN










