Sekat akaun TikTok: AGC bantah permohonan cabar tindakan MCMC

Sekat akaun TikTok: AGC bantah permohonan cabar tindakan MCMC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan seorang pengulas politik tempatan, Na’im Brundage untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyekat akaun TikToknya.

Bantahan tersebut  difailkan pada 23 Julai lalu atas alasan permohonan semakan kehakiman  difailkan Na’im Brundage bukanlah tindakan yang sesuai dan Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Jasin, Melaka itu juga telah menamakan pihak yang salah.

Peguam Persekutuan, Ainna Sherina Saipolamin bagi pihak AGC berkata demikian ketika ditemui media selepas prosiding kes itu berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid.

Turut hadir pada prosiding tersebut peguam Zaid Malek mewakili Na’im manakala peguam A. Ruebankumar mewakili Pengerusi MCMC, Datuk Dr. Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen dan MCMC selaku responden.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober ini untuk pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh Na’im.

Pada 24 Jun lalu, Na’im selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman antara lainnya memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan responden-responden yang terkandung di dalam surat bertarikh 1 April 2024 untuk menyekat dua akaun TikToknya.

Pemohon berkata sekatan akaun-akaun TikTok tersebut bercanggah dengan Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan tiada apa-apa peruntukan di bawah akta itu membenarkan perkara yang sama.

“Keputusan responden-responden untuk menyekat akaun-akaun TikTok itu adalah terbatal dan menyalahi undang-undang, tidak rasional, tidak mematuhi prosedur yang sah, tidak wajar dan merupakan suatu pelanggaran keadilan asasi,” kata Na’im.

Na’im kerap memuat naik video di dua akaun TikToknya yang mana kandungan video tersebut merupakan luahan pandangan serta pendapat beliau berkenaan isu sosial, politik serta ekonomi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN