MCMC sita 6,916 unit kelengkapan komunikasi bernilai RM2.06 juta

MCMC sita 6,916 unit kelengkapan komunikasi bernilai RM2.06 juta

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyita 6,916 unit kelengkapan komunikasi disyaki tidak diperakui, dianggarkan bernilai RM2.06 juta menerusi Ops V380.

MCMC berkata, Ops V380 yang dilaksanakan pada 24 Jun lalu menyasarkan sebuah syarikat yang komunikasi yang tidak diperakui serta tidak mematuhi piawaian teknikal ditetapkan.

Menurutnya, antara barangan yang disita ialah kamera litar tertutup tanpa wayar (wireless CCTV), komputer, mesin pencetak, telefon bimbit dan penghala WiFi bagi membantu siasatan.

“Seramai 44 pegawai terbabit dalam operasi yang dijalankan serentak di sebuah gudang penyimpanan di Klang serta sebuah premis yang dijadikan pejabat urusan dan studio siaran langsung di Johor Bahru.

“Siasatan awal mendapati kelengkapan komunikasi itu ditawarkan dan dijual menerusi platform e-dagang termasuk TikTok Shop dan Shopee.

“Hasil operasi itu, kita turut merakam percakapan lapan individu termasuk pengurus syarikat, pembantu gudang dan hos siaran langsung bagi membantu siasatan,” katanya dalam
kenyataan.

MCMC berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan dan kerjasama strategik antara pihaknya dan SIRIM QAS International Sdn. Bhd. selaku agensi pemerakuan berdaftar.

“Penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menjejaskan keselamatan pengguna kerana tidak mematuhi piawaian teknikal yang ditetapkan.

“Selain, menjejaskan prestasi dan kebolehpercayaan peranti, penggunaannya juga berpotensi menyebabkan gangguan kepada rangkaian komunikasi serta menjejaskan kualiti perkhidmatan komunikasi,” katanya.

Kes disiasat mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

MCMC berkata, pihaknya akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan, pengedaran dan pemilikan bagi tujuan penjualan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui.

“Orang ramai turut dinasihatkan untuk membeli kelengkapan komunikasi yang surah diperakui bagi menjamin keselamatan pengguna dan mengelakkan gangguan kepada rangkaian komunikasi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN