WeChat, TikTok dan Telegram sudah dilesenkan - Fahmi

WeChat, TikTok dan Telegram sudah dilesenkan – Fahmi

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: WeChat International Private Limited, TikTok Private Limited dan Telegram Messenger Incorporated sudah dilesenkan di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) setakat 31 Ogos lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) ketika ini masih meneruskan perbincangan bersama platform Meta (Facebook, Instagram dan WhatsApp) serta Google (YouTube) bagi tujuan sama.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan isu pelaksanaan serta penguatkuasaan kerangka pelesenan dapat ditangani dengan berkesan, selaras matlamat mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

“Platform X pula memaklumkan jumlah penggunanya di negara ini tidak mencapai nilai ambang 8 juta untuk memenuhi keperluan pelesenan.

“Namun, MCMC sedang menjalankan kajian baharu secara menyeluruh bagi menentukan jumlah pengguna di platform berkaitan di bawah kerangka pelesenan ini dan akan meneliti jika ada keperluan platform termasuk X didaftarkan sebagai pemegang lesen ASP(C),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr. Mohd Hatta Md Ramli mengenai perkembangan terkini perbincangan dengan platform media sosial yang belum memperoleh lesen di bawah ASP(C) dan halangan menyebabkan proses itu berlarutan agak lama.

Fahmi berkata, MCMC sentiasa mengekalkan komunikasi secara terbuka dengan penyedia perkhidmatan yang masih belum memperoleh ASP(C) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Proses pelesenan ini memerlukan masa kerana membabitkan penyelesaian pelbagai isu berkaitan pelaksanaan dan penguatkuasaan kerangka pelesenan bersama penyedia perkhidmatan asing berskala besar.

“Perbincangan merangkumi aspek teknikal, operasi dan pematuhan undang-undang kompleks yang memerlukan penelitian terperinci,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×