KEMAMAN: Remaja lelaki berusia 13 tahun yang termakan biskut dipercayai beracun di sebuah kebun di Kampung Dadong, Air Putih dekat sini, mendakwa dia tertarik melihat banyak biskut yang digantung di sepanjang kebun itu dan tidak mengetahui biskut tersebut sebenarnya beracun.
Mohd. Daynail Haikal Alias, 13, berkata, meskipun sebelum kejadian dia telah makan tengah hari dan telah kenyang, namun dia teringin merasa salah satu biskut yang digantung berikutan warna dan bentuknya berlainan dengan biskut lain yang digantung.
“Saya benar-benar tidak tahu biskut tersebut beracun. Kalau tahu, memang saya tak akan ambil dan makan sebab bahaya.
“Lagipun, saya memang tak pernah tengok biskut digantung di pagar-pagar kebun. Saya juga jarang ke kawasan kebun dan pertama kali tengok biskut bergantung begitu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Air Putih, di sini, hari ini.
Mohd. Daynail yang menerima rawatan selama empat hari dibenarkan keluar dari Hospital Kemaman, petang semalam.
Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SK) Dadong itu berkata, ketika kejadian dia bersama rakannya mahu pergi memancing selepas selesai menjalani latihan memanah di sekolahnya.
“Masa saya gigit biskut, kawan saya ternampak dan dia beritahu saya supaya jangan makan. Bila saya rasa masam, saya terus meludahnya kembali,” katanya.
Anak keempat daripada lima adik beradik itu berkata, dia tidak menyedari apa yang berlaku kepada dirinya sehingga dia tersedar ketika di hospital.
“Saya hanya sedar saya berada atas katil dan sedang dirawat. Bila dapat bertemu ibu, saya tanya apa yang terjadi dan baru ingat semula sebelum itu saya termakan biskut.
“Ketika dirawat hospital, saya terasa pening kepala namun sekarang sudah mulai pulih walaupun masih dalam proses rawatan dan esok saya perlu ke hospital untuk rawatan susulan,” katanya yang serik dengan kejadian itu. – UTUSAN










