RUU Mufti WP perlu pertimbangan sewajarnya - Raja Perlis - Utusan Malaysia

RUU Mufti WP perlu pertimbangan sewajarnya – Raja Perlis

Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pembentangan Rang Undang- Undang (RUU) Mufti (Wilayah- Wilayah Persekutuan) 2024 yang ingin digubal hendaklah dipertimbangkan dengan sewajarnya khususnya melibatkan kesan dan akibat apabila pelaksanaannya diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, melihat kepada butiran RUU tersebut, baginda berpandangan bahawa tindakan menyempitkan takrif Ahlus Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah hanya bersumberkan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah adalah tidak wajar berlaku di negara ini.

Titah baginda, selain itu, daripada sudut fiqh, penggubalan itu juga tidak sewajarnya hanya daripada Mazhab Shafie dengan meraikan tiga mazhab lain dan dari sudut tasawuf adalah bersumberkan Imam Ghazali dan Imam Junaid.

“Tindakan seumpama ini adalah tidak bersifat inklusif bahkan membawa kepada elemen sektarian dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Beta juga selama ini tidak ambil maklum bahawa perkara berkaitan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturudiah dan mengehadkan mazhad ini telah diputuskan secara konsensus serta menepati prinsip syura dalam Mesyuarat Raja-Raja. Justeru beta tidak mahu Majlis Raja-Raja diheret dan digunakan bagi menyokong RUU ini,” titah baginda di sini hari ini.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan Tuanku Syed Sirajuddin bertitah tidak berkenan nama Majlis Raja-Raja digunakan dalam usaha menyokong RUU Mufti (Wilayah- Wilayah Persekutuan) 2024 itu.

Perkara itu dimaklumkan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dalam hantaran Facebooknya di sini, semalam.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, Perkara 5 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948 telah memperuntukkan mengenai agama negeri ini adalah berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti diamalkan dalam negeri ini.

“Sebagai Ketua Agama Islam negeri, beta bertanggungjawab untuk memastikan pemahaman agama Islam itu hendaklah dalam keadaan harmoni, mengutamakan perpaduan sejagat dan terhindar dari anasir ekstrem yang mengetepikan kepelbagaian pandangan.

“Keluasan pandangan dalam pelbagai cabang amalan agama telah sekian lama diterima dan diamalkan oleh umat Islam dalam negara ini, dengan turut meraikan perbezaan pandangan di seluruh dunia,” titah baginda.

Titah baginda, dalam perkara ini, Wilayah Persekutuan sepatutnya membawa semangat federalisme yang memayungi semua pihak.

“Negara-negaea umat Islam lain seperti Arab Saudi, Qatar dan lain-lain akan mudah dianggap terkeluar dari kalangan Ahlus Sinnah wal Jamaah sekiranya taktifan sempit ini diteruskan. Besarlah harapan beta agar segala yang dizahirkan ini diberi perhatian oleh semua pihak,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN