RM1 juta bina semula jambatan gantung rosak akibat banjir

RM1 juta bina semula jambatan gantung rosak akibat banjir

AHMAD Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di Sandakan, Sabah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM1 juta bagi membina semula jambatan gantung yang rosak akibat banjir di Penampang dan Tuaran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan yang disalurkan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) itu sebagai langkah segera susulan bencana banjir yang melanda beberapa daerah pada 30 Jun lalu.

Beliau berkata, berdasarkan perincian laporan yang diterima, kejadian itu menjejaskan kehidupan 485 mangsa di kedua-dua daerah tersebut dan juga Putatan.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana, saya telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk menempatkan tiga set jambatan keluli bermodular (bailey bridge) sepanjang 39 meter dan mampu menampung beban seberat 50 tan pada satu-satu masa.

“Kemudahan ini adalah langkah persediaan sekiranya wujud keperluan segera bagi menggantikan jambatan runtuh.

“Pada masa sama, saya juga telah mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk melakukan kajian di kawasan tanah runtuh berdekatan kaki Gunung Kinabalu di Mesilau, Kundasang susulan hujan lebat berterusan pada 23 Jun lalu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, tindakan ini akan diselaraskan oleh pihak Nadma bagi mengenal pasti tindakan berkaitan yang perlu diambil.

Selain itu, JMG turut diarah meletakkan pengesan atau sensor pergerakan di cerun-cerun kaki Gunung Kinabalu serta kawasan-kawasan tumpuan penduduk dan pelancong.

Jelas beliau, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut disaran melaksanakan pemeriksaan dengan lebih kerap dan mengenal pasti jalan-jalan yang terputus hubungan.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan Persekutuan juga telah memperuntukkan RM10 juta untuk menangani kesan cuaca kemarau di seluruh negara dan Sabah adalah antara negeri terjejas.

Kemarau dilaporkan mula melanda pada pertengahan Mac dan berakhir pertengahan Mei lalu, sekali gus menyebabkan berlaku kekurangan bekalan air bersih di beberapa buah kampung.

Kata beliau, kerajaan Persekutuan berharap segala usaha ini berkesan dalam membantu dan melancarkan kelangsungan hidup rakyat negeri Sabah mendepani situasi banjir dan kesan cuaca kemarau pada masa akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×