Risalah untuk kaum penulis - Utusan Malaysia

Risalah untuk kaum penulis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERJA menulis tentang muzik di Malaysia tak banyak laba. Saya beruntung sebab dibayar gaji untuk menulis setiap minggu di ruangan ini. 

Ada orang kata, kewartawanan muzik di Malaysia ini kerja yang sunyi. Kita berseorang dan tak dihargai. 

Ada betulnya tapi saya tak mahu anggap begitu. Satu, sebab terma lorong sunyi dalam dunia kewartawanan sudah dipegang arwah Ahmad Lutfi Othman. 

Bukunya, Lorong Sunyi Media Bebas buku yang mustahak dibaca setiap wartawan di Malaysia. 

Dan Ahmad Lutfi bercerita tentang hal yang lebih besar: tentang kebebasan media, kewartawanan melawan pemerintah, kewartawanan yang menjulang kebenaran. 

Apalah sangat sunyinya kerja menulis tentang muzik kalau mahu dibanding dengan semua itu. Dua, merasa sunyi kerana menulis tentang muzik terlalu dramatik. 

Mencari unsur dramatik dalam hidup ini tak sihat. Kita cenderung reka masalah demi menjadikan hidup dramatik. 

Mahu plot hidup sedinamik novel dan filem rekaan. Sebab itu, saya fikir, kerja menulis tentang muzik ini biasa sahaja. Memang orang tak hargai, memang tak ramai buat tapi ia tidaklah begitu istimewa. 

PERGANTUNGAN KATA 

Tak istimewa tak bererti ia sia-sia. Jumaat depan Rondivu berusia empat tahun dan tak pernah sekali saya terlintas yang Rondivu ini kerja sia-sia. 

Begitu juga kawan-kawan saya yang lain. Usaha mereka menulis tentang muzik juga tak sia-sia. 

Biarlah orang tak peduli dan hargai. Pengkarya sendiri ada yang memandang rendah pada kerja ini. 

Tapi kita jangan gantung kerja pada penilaian orang. Kita buat sebab kita mahu. Menulislah kerana mahu. 

Ramai yang anggap penulis muzik tak lebih sekadar jurujual. Apabila kita iklankan karya mereka atau puji mereka, penulisan kita akan dikongsi jauh dengan gembira. 

Tapi pada detik kita kritik apa yang mereka buat, darah marah mula menggelegak. Direndah-rendahkan kita. 

Disebar hal-hal buruk tentang kita. Manusia sebegini perlu dibuang jauh dari kotak fikir. Jangan dipeduli kewujudan mereka yang mengharapkan puji sepanjang hidup. 

Wartawan, secara ideal, tidak perlu memuaskan hati sesiapa. Baik Presiden atau Sultan, kerja kita menurap jalan ke arah kebenaran. 

Fathi Aris Omar kata, jika wartawan mati terpasung, pembaca akan mati tergantung. Buang perkataan mati dari ayat itu, kita boleh faham dengan lebih jelas. 

Wartawan, jika terpasung oleh kuasa atau desakan menyedapkan hati orang, tidak boleh menulis dengan penuh jujur dan benar. 

Apa-apa maklumat yang ditahan-tahan atas faktor itu akan membuatkan pembaca tergantung — mereka tak dapat maklumat yang sepatutnya mereka dapat. 

Begitulah besarnya bagasi tanggungjawab wartawan dalam menyampaikan maklumat serta pendapat. 

MAHA SENI 

Rintangan terbesar penulis muzik di Malaysia ada dua. Satu, laba kewangannya tak besar. 

Kalau tak dibayar gaji macam saya, perlu kerah tenaga cari kerja lain sambil menulis. Dua, orang tak peduli apa kita tulis. 

Secara amnya, orang tak perlu penulisan kritis tentang muzik untuk hidup. Tapi kita tetap saja menulis dan berusaha jadi kritis. Sebab apa? 

Sebab penulisan yang kita usahakan itu, walau tidak sepuitis Sapardi, tidak semerdu P. Ramlee atau tidak seindah malam berbintang Vincent, ia sebuah karya seni. Manusia perlu berkarya dan berseni untuk mengisi hidup. 

Kita tak pandai melukis atau menyanyi atau berlakon, tak apalah. Kita pandai menulis, maka kita karyakan penulisan. 

Para penulis muzik perlu tanam dalam diri, anda sedang berseni ketika mengarang artikel ulasan lagu, diari acara atau kritikan sosial tentang muzik. 

Apabila ditemukan ulasan dengan lagu, rentapnya antara karya seni lawan karya seni. Sumbernya akal, prosesnya kreatif cuma produknya berbeza. 

Kalau kita faham penulisan sebagai karya, bebel Kak Aziah Jaafar pada saya dulu, iaitu story itu maruah boleh direalisasi pada semua kaum penulis. 

Memahami penulisan sebagai karya seni juga membantu merendahkan diri. Sebab semua karya seni layak dikritik dan dipuji, boleh difahami dan tidak difahami, patut ditafsir sendiri oleh pembacanya. 

Artikel kita bukan teks agama yang tak boleh dibantah. Maka, seperti layaknya seorang ahli seni, buang ego selepas menulis. 

SEIMBANG SEDERHANA 

Ini hadiah saya kepada kawan-kawan penulis muzik di Malaysia. Saya mencadangkan keseimbangan ketika melihat diri sebagai seorang penulis muzik. 

Jangan anggap apa yang kita buat ini terlalu istimewa tetapi jangan juga anggap kerja ini sia-sia. 

Imbangkan tanggungjawab menulis ke arah kebenaran dengan kesedaran bahawa kita juga manusia yang boleh silap menyampaikan pandangan. 

Selalu semak diri, takut nanti kita terteguk ludah sendiri. Jangan terlalu mendongak langit. Cairkan nada sombong dan berlagak ketika menulis. 

Yakin kerana benar, bukan yakin kerana kita rasa kita yang paling benar. Angkat diri sebagai seorang pengkarya seni tapi sebab kita pengkarya seni juga, jangan terbang terlalu tinggi dengan kepak ego. 

Pengkarya seni sebenar tahu mencermin diri. Jangan besar kepala tapi jangan juga kecil kepala. 

Cintai kerja ini dengan sederhana. Dan yang paling mustahak, teruslah menulis. Menulis kerana mahu. Hidup atau mati Rondivu, penulis perlu terus menulis. 

Ada atau tiada Rondivu, muzik tak harus tewas. Baqa atau fana Rondivu, kewartawanan muzik perlu terus bernafas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN