BALIK PULAU : Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang hilang sejak Ahad lalu, ditemui dalam keadaan selamat, semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, remaja itu dijumpai di pekarangan sebuah masjid di Teluk Kumbar dekat sini pada pukul 11.50 pagi tadi.
Katanya, terdahulu, remaja itu telah dihantar ke asrama sebuah institusi pendidikan swasta di sini, pada 21 Julai lalu.
“Keluarga mangsa hanya mengetahui dia hilang selepas mereka berhubung dengan pihak institusi pendidikan tersebut semalam.
“Pihak tersebut memaklumkan kepada ibu bapa mangsa bahawa remaja tersebut tidak memasuki kelas serta tidak ada di asrama sejak Ahad lalu,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular di Facebook mengenai kehilangan Nur Maisarah Husna, 17, sejak 21 Julai lalu.
Namun, awal pagi tadi, bapa saudara remaja tersebut memaklumkan bahawa remaja tersebut telah dijumpai.
Menurut Kamarul Rizal, bapa mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kehilangan mangsa.
“Beberapa jam kemudian remaja berkenaan ditemui dalam keadaan selamat oleh orang awam. Pemeriksaan awal fizikal remaja itu didapati berada dalam keadaan baik namun dihantar ke hospital bagi pemeriksaan lanjut,” katanya.-UTUSAN










