PUTRAJAYA: Rayuan akhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 kerana memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), ditangguhkan oleh Mahkamah Rayuan sehingga 1 Ogos ini.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan tarikh itu selepas membenarkan penangguhan yang dipohon Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada prosiding rayuan yang sepatutnya didengar hari ini.
Wan Shaharuddin memohon pertimbangan mahkamah agar rayuan Peter ditangguhkan bagi membolehkan pihak pendakwaan meneliti isu-isu berbangkit dalam hujahan bertulis perayu.
Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin berkata, pihak pendakwaan selaku responden boleh memfailkan hujahan tambahan jika perlu sebelum rayuan itu didengar awal bulan depan.
Sementara itu, Wan Shaharuddin ketika ditemui pihak media selepas prosiding tersebut berkata, representasi pertama yang dikemukakan oleh Peter pada April lalu, ditolak oleh pihak pendakwaan pada akhir Mei lalu.
Beliau menjelaskan, Peter mengemukakan representasi supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) bersetuju terhadap rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang dikenakan.
Terdahulu, peguam Datuk Nicholas Kow Eng Chuan tidak membantah permohonan itu namun memohon tarikh awal bagi membolehkan nama anak guamnya dibersihkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka dilaksanakan tahun depan.
Pada 19 April 2023, Peter, 53, memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.
Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu, sebelum ini gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada 18 April 2023 dan ini merupakan rayuan terakhir Peter di Mahkamah Rayuan.
Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu. – UTUSAN










