IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan mesyuarat bersama lima syarikat minyak utama Khamis ini bagi menangani isu pengeluaran kad fleet untuk Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pada mesyuarat itu, kelima-lima syarikat minyak perlu mengemukakan dan membentangkan mekanisme untuk menyegerakan pengeluaran kad fleet.
Katanya, berdasarkan rekod terkini yang diperoleh sehingga Isnin lalu, sebanyak 165,897 fleet card dikeluarkan kepada syarikat-syarikat yang memohon.
“Fleet card ini menggunakan dua kaedah iaitu melalui prabayar atau pascabayar. Kalau secara prabayar tiada isu sebab syarikat-syarikat minyak boleh mengeluarkan fleet card segera.
“Isu timbul apabila syarikat memohon untuk menggunakan kaedah pascabayar kerana sudah pastilah syarikat-syarikat minyak utama ini perlu melihat kepada dokumen lampiran, status kewangan dan sebagainya,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Penutup Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kelewatan pengeluaran kad fleet oleh syarikat minyak mungkin disebabkan oleh sikap tunggu dan lihat segelintir syarikat meskipun pelaksanaan SKDS telah diumumkan lebih awal Mac lalu sebelum menyasaran minyak diesel dikuatkuasakan pada Julai.
“Mereka tunggu penyasaran subsidi diumumkan barulah memohon. Jadi, apabila kerajaan umumkan, baru ramai yang memohon hingga menyebabkan volume (permintaan) tinggi dan berlaku ‘backlog’ (tunggakan).
“Dari segi stok, semua syarikat minyak sebenarnya mempunyai satu juta stok fleet card. Sebelum penyasaran bermula, kita telah mendapat komitmen daripada kelima-lima syarikat minyak ini untuk mereka menyediakan satu juta fleet card,” katanya.
Beliau memberitahu, tempoh pengeluaran kad fleet oleh syarikat minyak sebelum ini mengambil masa lebih sebulan namun ada syarikat yang boleh mengeluarkan kad berkenaan kurang daripada 10 hari.
Katanya, walaupun tempoh pengeluaran itu dilihat lebih singkat namun pihaknya mahu proses berkenaan dipercepatkan lagi.
“Pada mesyuarat Khamis ini, kita mahu lihat apakah kaedah-kaedah yang boleh diambil oleh lima syarikat minyak ini untuk mereka mempercepatkan lagi proses pengeluaran fleet card ini.
“Secara keseluruhannya, proses ini semakin cepat namun kita mahu semua syarikat minyak dapat menyegerakan lagi proses pengeluaran tersebut bagi memastikan syarikat-syarikat dapat memanfaatkan SKDS,” ujarnya.
Untuk rekod, sejumlah 88,029 syarikat diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS melibatkan sebanyak 248,887 kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang direkodkan sehingga hari ini. – UTUSAN











