Projek asrama warga asing: Pemaju belum beri kata putus

Projek asrama warga asing: Pemaju belum beri kata putus

A.RAJENDRAN (dua dari kanan) dan Azrul Mahathir Aziz (tiga dari kanan) melihat cadangan projek pembinaan kompleks pasar awam di Teluk Kumbar, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Masih tiada sebarang keputusan muktamad daripada pemaju projek mengenai pembangunan asrama pekerja asing di Teluk Kumbar buat masa ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Ir. A. Rajendran berkata, setakat ini, pemaju didapati masih belum memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh MBPP bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan projek dimulakan.

“Projek ni memang MBPP telah luluskan, tetapi. kelulusan yang diberikan tertakluk kepada syarat-syarat dan sebelum kerja pembinaan boleh dimulakan, syarat tersebut perlu dipatuhi. Bagaimanapun, setakat ini, syarat-syarat itu belum dipatuhi.

“Pemaju juga masih belum beri kata-kata muktamad sama ada mereka mahu teruskan pembinaan projek atau tidak,” katanya selepas menghadiri sidang akhbar cadangan pembinaan Kompleks Pasar Awam Teluk Kumbar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz.

Permohonan Kebenaran Merancang (PKM) bagi cadangan mendirikan satu blok bangunan asrama pekerja 27 tingkat yang mempunyai 512 unit di atas Lot 1859, 1860 & 1865, Tingkat Teluk Kumbar, Mukim 9, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang yang telah dikemukakan oleh Tetuan Chong Company Sdn Bhd sebelum ini telah diluluskan oleh MBPP.

Bagaimanapun, kelulusan Kebenaran Merancang (Borang C1) masih belum dikeluarkan oleh MBPP kepada Tetuan Chong Company Sdn Bhd kerana syarikat terbabit belum memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan MBPP.

Terdahulu, salah satu daripada pemaju projek pembinaan asrama pekerja warga asing di kawasan Teluk Kumbar dikatakan telah menarik balik Permohonan Kebenaran Merancang (PKM) projek berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye dalam sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang berkata, pemaju berkenaan iaitu Tetuan Zantalite Enterprise (M) Sdn. Bhd. telah menarik balik PKM tersebut pada 9 Mei lalu.

Dalam perkembangan lain, Rajendran berkata, sebuah kompleks pasar awam dengan anggaran kos lebih RM20 juta dicadang untuk dibina di Teluk Kumbar dan MBPP sedang menjalankan proses perolehan projek berkenaan.

“Pembangunan kompleks pasar ini akan dilengkapi dengan pembahagian produk barangan basah dan kering, di mana terdapat sebanyak 48 buah gerai jualan ikan, daging, sayur, buah dan barangan am.

“Bagi bahagian kompleks makanan pula terdapat sebanyak 38 buah gerai makanan dan minuman yang dapat menampung sebanyak 390 orang pelanggan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN