PRK Sungai Bakap ibarat rezeki 'terpijak' buat peniaga

PRK Sungai Bakap ibarat rezeki ‘terpijak’ buat peniaga

SYUHADA Ramli menunjukkan bekas mengisi lauk-pauk yang licin di kedai makan yang terletak berhadapan dengan Pusat Mengundi SK Sungai Duri, Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Ibarat mendapat rezeki ‘terpijak’. Itu yang dialami oleh para peniaga di sekitar pusat pengundian di Sungai Bakap ini apabila rata-rata daripada mereka mendapat keuntungan yang berganda hari ini.

Tinjauan di sekitar Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri di sini mendapati, penjual minuman dan makanan ringan, nasi campur serta buah-buahan antara yang tersenyum gembira apabila melihat hasil jualan mereka laris sejak awal pagi.

Bagi peniaga kedai makan, Syuhada Ramli, 37, lauk-pauk yang dijual di kedainya laris dan habis awal berbanding kebiasaannya terutama pada hari Sabtu.

“Kami masak seperti biasa, kira-kira 10 kilogram (kg) beras dan lauk-pauk juga macam biasa, hampir 10 jenis setiap hari. Alhamdulillah, boleh kata semuanya hampir licin sebelum pukul 1 petang.

“Selain nasi dan lauk-pauk, yang paling laku ialah air. Mungkin sebab cuaca agak panas. Kalau hari biasa, kami hanya sediakan enam beg ais sahaja.

“Tetapi, hari ini terpaksa sediakan sampai 10 beg (ais). Memang laku ‘keras’,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, peniaga durian, Zainal Idris juga gembira apabila gerai buah-buahan tidak putus menerima kunjungan orang ramai hari ini.

ZAINAL Idris (tengah) bersama dua anaknya ketika berniaga durian serta beberapa jenis buah-buahan lain berhampiran Pusat Mengundi SK Sungai Duri, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

“Dalam sehari biasanya saya mampu menjual sehingga 20kg durian sahaja, tetapi, hari ini jumlah itu bertambah sehingga mencecah 50kg.

“Alhamdulillah. Memang seronok berniaga kalau macam ini hari-hari,” katanya yang menjual durian kampung dan durian kahwin pada harga serendah RM8 sebakul serta beberapa jenis buah-buahan lain dengan ditemani oleh anak-anaknya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN