KOTA BHARU: Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38, mengakui terkejut apabila namanya dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos ini.
Beliau bagaimanapun menerima tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin dan mahu bekerja lebih keras bagi memastikan BN mampu merampas semula kerusi DUN Nenggiri dari tangan Perikatan Nasional (PN).
“Saya masih terkejut dengan pengumuman sebagai calon PRK DUN Nenggiri oleh Datuk Jazlan Yaakub (Pengerusi BN Kelantan). Saya baru dimaklumkan secara rasmi sebentar tadi.
“Justeru, saya perlu berpijak di bumi yang nyata. Kita tahu PN menang di DUN Nenggiri pada PRN yang lalu dengan majoriti 810 undi. Jadi, saya perlu bekerja keras untuk merampas semula kerusi itu pada PRK kali ini,” katanya dalam sidang media selepas namanya diumumkan sebagai calon BN bagi PRK Nenggiri di Pejabat UMNO negeri di sini semalam.
Mohd. Azmawi Fikri memberitahu, pada masa sama beliau mahu menjadikan DUN Nenggiri lebih baik tanpa mengira fahaman politik sekiranya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan tersebut.
Katanya, beliau akan terus memegang prinsip yang diajar oleh UMNO dan BN iaitu membela semua pihak tanpa mengira warna kulit.
Pemilihan Mohd. Azmawi Fikri yang merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang disifatkan sebagai tepat apabila beliau cukup dikenali dalam kalangan penduduk Nenggiri.
Calon BN PRK Nenggiri itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Universiti Utara Malaysia (UUM).
Pada PRK lalu, calon PN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab. Aziz Yusoff.
Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah pada 13 Jun lalu mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.
Ia selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada Bersatu mengenai pengguguran keahlian Mohd. Azizi..
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos. – UTUSAN










