PETALING JAYA : Polis membongkar kegiatan Geng Kribo yang menjadikan sebuah rumah kosong di Batu 14, Hulu Langat sebagai rumah penampungan bagi ‘menyimpan’ pendatang asing tanpa izin (PATI) sebelum diseludup keluar dari negara ini.
Kegiatan itu dikesan menerusi Op Pintas oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, kira-kira pukul 5.10 petang semalam.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, menerusi operasi itu, sebanyak 32 PATI termasuk 14 wanita ditahan.
Katanya, semakan mendapati empat lelaki migran terbabit adalah warga Bangladesh, manakala selebihnya warga Indonesia.
“Pemeriksaan juga mendapati tangkapan termasuk seorang wanita yang sedang mengandung enam bulan dan kanak-kanak berumur satu tahun bersama ibunya yang berusia 22 tahun.
“Siasatan awal mendapati migran ini perlu membayar kepada ejen berjumlah RM1,600 hingga RM2,500 seorang,” katanya di sini.
Beliau berkata, polis turut menahan dua lelaki Indonesia yang berperanan sebagai penjaga rumah penampungan dan transporter atau ejen untuk tindakan di bawah Seksyen 26A Akta Atipsom 2007.
Tambah Soffian, dipercayai PATI ini hendak diseludup keluar ke Indonesia melalui jalan laut.
“Soal siasat awal mendapati sindiket menjadikan rumah tidak bernombor terbabit sebagai tempat PATI sejak tiga bulan lalu,” ujarnya.
Tegasnya, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk siasatan lanjut.










