PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir sebagai tetamu khas selain turut menyampaikan amat pada Himpunan Barisan Nasional (BN) Sabah, Ahad ini.
Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, kehadiran Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) membuktikan hubungan erat antara kedua-dua parti iaitu PH dan BN khususnya sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Katanya, kehadiran Perdana Menteri sebagai tetamu khas dan akan menyampaikan amanatnya merupakan sejarah baharu dalam politik tanah air khususnya bagi Sabah.
“Gandingan BN-PH diyakini akan memberikan dampak positif serta bakal merubah landskap politik Sabah, sejajar dengan persefahaman yang amat baik dan kukuh di antara Pengerusi PH dan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin juga menegaskan gabungan BN-PH merupakan formula terbaik menghadapi PRN ke-17 kelak dengan mengenepikan sentimen anti-Malaya dan anti-Persekutuan yang sering menjadi senjata pihak lawan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat Sabah menyedari Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar mengambil peduli tentang masalah rakyat dan ia dizahirkan melalui Belanjawan 2024, apabila negeri tersebut menerima peruntukan sebanyak RM6.6 bilion berbanding RM6.5 bilion tahun sebelumnya.
“Selain itu, Kerajaan Persekutuan atas semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut menurunkan kuasa pelaksanaan projek Pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal di Sabah dan Sarawak.
“Ini jelas membukti Perdana Menteri bersungguh-sungguh untuk melihat pembangunan dan kemajuan di negeri Sabah dengan pelbagai inisiatif antaranya Pelan Transformasi SESB (Sabah Electricity Sdn. Bhd.), Pelaksanaan Penjanaan Tenaga Solar Hibrid,” katanya.
Suhaimi berkata, sejajar dengan semangat perpaduan di atas komitmen Perdana Menteri dan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri serta Bung Moktar, beliau mengajak rakyat beramai-ramai ke Sandakan bagi menzahirkan solidariti bersama BN pada majlis tersebut. –UTUSAN











