Piala FA: Kedah tempah tiket ke separuh akhir bertemu JDT - Utusan Malaysia

Piala FA: Kedah tempah tiket ke separuh akhir bertemu JDT

KEDAH hanya mencatat keputusan seri 0-0 bertemu Penang namun layak ke separuh akhir dengan agregat 1-0 dalam aksi Piala FA di Stadium Darul Aman, malam ini. -IHSAN MFL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Keputusan seri 0-0 dicatat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menentang Penang FC, malam ini sudah cukup untuk membawa pasukan bimbingan Nafuzi Zain mara ke separuh akhir Piala FA menerusi keputusan agregat 1-0.

Keputusan di Stadium Darul Aman itu menyaksikan Sang Kenari bakal bertemu gergasi tanah air, Johor Darul Tazim (JDT) yang membenam Malaysian University dengan agregat 13-0.

Perlawanan berlangsung rancak sebaik wisel permulaan dengan Penang FC menunjukkan kesungguhan mereka untuk memadam kelebihan satu gol dimiliki Kedah pada suku akhir pertama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penyerang utama mereka, Rodrigo Da Silva berpeluang membuka jaringan seawal minit ke-8, namun rembatannya terlalu lemah untuk membolehkan pertahanan KDA FC, Ariff Farhan menyelamatkan keadaan meskipun penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz sudah tertewas.

Pada minit ke-17, Penang FC sekali lagi berpeluang berada di depan namun tandukan Oliveira Netto yang menerima hantaran lintang A. Namathevan sekadar singgah di palang.

Acap kali diasak, KDA FC menguji pintu gol pelawat pada minit ke-22 menerusi rembatan dari luar kotak penalti oleh Sony Norde yang menuju tepat ke kanan gawang Penang FC sehingga memaksa Sikh Izhan melayangkan badan untuk menyelamatkan keadaan.

Tempo permainan sedikit menurun pada babak kedua dengan masing-masing berdepan kesukaran untuk menembusi pertahanan lawan. Percubaan tepat seterusnya hanya hadir pada minit ke-67 menerusi sepakan percuma diambil pertahanan Penang FC, Adib Raop namun diselamatkan Kalamullah.

Minit ke-72, kecemerlangan Kalamullah sekali lagi memainkan peranan bagi menghalang pintu golnya daripada dibolosi. Penjaga gol kebangsaan itu berada di posisi tepat untuk mendakap kemas tandukan Richmond Ankrah yang menyambut bola sepakan sudut Netto.

Memasuki 10 minit terakhir, Nafuzi melakukan empat pertukaran serentak dengan memasukkan Milos Gordic, Hasbullah Abu Bakar, Zamri Pin dan Fayyadh Zulkifli bagi menggantikan Syafiq Ahmad, Ebenezer Assifuah, Amirul Hisyam Awang Kechik dan Ariff Farhan.

Langkah itu bagaimanapun tidak membawa perubahan besar kepada tuan rumah. Keputusan 0-0 kekal hingga tamat perlawanan untuk mengesahkan kemaraan KDA FC ke separuh akhir Piala FA musim ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini