PH perbaiki komunikasi supaya dasar kerajaan diterima rakyat

PH perbaiki komunikasi supaya dasar kerajaan diterima rakyat

ADAM Adli Abd. Halim (tengah) bersama Majlis Belia Negeri Perlis di Bunker Kafe di Arau, Perlis semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pakatan Harapan (PH) akan terus memperbaiki kelemahan khususnya dalam aspek komunikasi melibatkan dasar-dasar dilaksanakan kerajaan supaya dapat diterima baik oleh rakyat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim berkata, dasar-dasar tidak popular dilaksanakan kerajaan secara tidak langsung menyukarkan PH menambat hati pe­ngundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap walaupun matlamatnya baik.

Kata beliau, PH menerima kekalahan tersebut dengan terbuka kerana semua pihak memberi usaha terbaik bagi merampas kerusi berkenaan.

“Kita sudah perbaiki banyak sebenarnya dari aspek gerak kerja tapi tentu sekali suasana politik hari ini bukannya suasana mudah terutama sekali buat Kerajaan Perpaduan.

“Banyak langkah dan dasar yang tidak popular perlu diambil oleh kerajaan pastinya me­ngakibatkan kesulitan dari sudut kita untuk tambat hati pengundi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam pada itu, Adam berkata, Kerajaan Perpaduan akan berusaha lebih keras bagi memastikan masyarakat dan pengundi yakin dan kembali dengan hala tuju yang ditetapkan kerajaan.

“Kita ada matlamat besar dan soal untuk memulihkan ekonomi negara, jadi kita perlu yakinkan rakyat bahawa kita ada hala tuju yang jelas. Kita perlu buat keputusan tidak populis de­ngan tujuan dan matlamat yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Adam berkata, Kerajaan Perpaduan sememangnya perlu membuat keputusan sama ada untuk menjadi popular bagi memenangi undi atau meneruskan dasar baik demi kepentingan rakyat.

Katanya, disebabkan itu, Kerajaan Perpaduan perlu berdepan dengan pelbagai sentimen lawan khususnya membabitkan beberapa perkara antaranya seperti penyasaran semula subsidi untuk rakyat.

“Tapi kita kena kekal dan kuat dengan dasar-dasar yang diambil walaupun akan me­ngakibatkan kehilangan populariti kerana ia bukan penghalang untuk kita buat benda betul.

“Memang kita dihukum atas kertas undi terutama dalam PRK, tapi saya yakin kalau kita berjaya hasilkan pulangan se­perti kita sasarkan menerusi semua langkah diambil sebagai kerajaan, maka rakyat akan dapat menilai dengan lebih baik. Beri sedikit masa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×