Persiapan hari mengundi PRK Sungai Bakap esok lancar

Persiapan hari mengundi PRK Sungai Bakap esok lancar

SPR tunggu pemakluman rasmi kekosongan kerusi DUN Mahkota.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Persiapan hari pengundian untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang akan berlangsung esok berjalan lancar setakat ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, segala persiapan telah dilakukan bagi memastikan proses pengundian esok berjalan dengan baik.

“Ketua tempat mengundi serta petugas keselamatan telah diberikan taklimat berkaitan bagi memastikan kelancaran proses pengundian.

“Setiap semakan yang dilakukan hari ini adalah bagi memastikan kesemua kelengkapan mengundi mencukupi termasuklah peralatan seperti peti undi, dakwat, kertas undi dan juga peralatan-peralatan melibatkan persiapan logistik.

“Kita juga ingin sarankan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mengikut masa yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna Jawi di sini.

Tambah beliau, pihaknya tidak menerima sebarang petisyen berkaitan kesalahan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap daripada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

IKMALRUDIN (tengah) ketika ditemui pemberita di Dewan Serbaguna Jawi, Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN

Kata Ikmalrudin, ia hanya kesalahan-kesalahan kecil melibatkan poster saja diterima setakat ini.

“Kes yang biasa atau kecil melibatkan kesalahan seperti poster diletakkan di tempat tidak sepatutnya tapi tidak timbul isu yang besar. Dalam hal ini, saya ingin ucapkan terima kasih kepada pengundi penyokong parti yang mematuhi peraturan perjalanan pilihan raya kali ini,” katanya.

Seramai 39,151 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada PRK bagi memilih wakil rakyat DUN Sungai Bakap esok.

Sebanyak sembilan pusat pengundian yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran dijadual dibuka serentak bermula jam 8 pagi dan ditutup jam 6 petang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×