IPOH: Kerajaan akan memperluas peranan dan capaian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) kepada semua peringkat komuniti.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, program rintis itu akan digerakkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Jabatan Penerangan (JaPen) menerusi Komuniti Madani.
Menurut beliau, semua program yang dirangka semula untuk Nadi dapat dimanfaatkan bukan hanya komuniti satu kawasan tetapi merangkumi semua kampung.
“Sesetengah DUN kawasannya besar, tetapi hanya terdapat kemudahan satu Nadi sahaja. Kita tidak mahu manfaatnya dinikmati komuniti terdekat sahaja, sebab itu kita kita akan bekerjasama dengan JaPen melalui Komuniti Madani
“Setiap DUN akan ada tiga Komuniti Madani, jadi kita mahu Komuniti Madani ini mengenali Nadi di kawasan mereka dan mengambil modul-modul daripada Nadi untuk dibawa keluar,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada pelancaran Perkhidmatan Pintar Nadi Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2 di sini hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Fahmi berkata, pembangunan Nadi bukan sekadar menyediakan perkhidmatan jaringan internet yang pantas tetapi menyediakan beberapa modul, latihan serta kelas-kelas program seperti kecerdasan buatan (AI).
“Ia untuk kemudahan komuniti setempat yang ingin mengetahuinya secara lebih mendalam,” katanya.
Mengenai perkhidmatan Nadi di Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2 yang dilancarkan hari ini, Fahmi berkata, ia sejajar dengan hala tuju Nadi hasil daripada Persidangan Pusat Ekonomi Digital Madani 29 November lalu bagi memberi nilai tambah kepada kesejahteraan masyarakat dan membantu meningkatkan taraf hidup setempat.
“Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan fungsi Nadi selain merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dengan luar bandar,” katanya.
Menurutnya, setakat 30 Jun lalu, sebanyak 75 Nadi beroperasi di negeri ini dan empat daripadanya merupakan Nadi baharu yang dibina di bawah inisiatif 1 DUN 1 Nadi.
“Lebih banyak Nadi diwujudkan selepas ini, difahamkan secara keseluruhan hampir 90 Nadi akan dibangunkan di seluruh Perak,” katanya. – UTUSAN










