PETALING JAYA: Kumpulan KLP48, secara rasminya memulakan debut mereka hari ini.
Kumpulan yang mempunyai 13 orang ahli dari pelbagai negara itu menyasarkan pasaran muzik global, sekali gus menyambung legasi kumpulan fenomena dari Jepun, AKB48.
Pengarah 48 Entertainment Sdn Bhd, Yip Chun Huei, dalam kenyataan berkata kumpulan itu dibentuk menerusi proses uji bakat dan saringan yang dijalankan selama tiga bulan.
“Sebelum ini, rakyat Malaysia banyak memberikan sokongan kepada kumpulan asal Jepun, AKB48.
“Kami berharap kumpulan KLP48 akan menerima layanan serupa. Ada banyak perancangan yang sudah diatur untuk mereka.
“Bukan itu sahaja, kesemua ahli juga bekerja keras untuk memberikan persembahan terbaik,” katanya.
Seperti semua legasi Kumpulan AKB48, masing-masing pasti mempunyai warna tersendiri yang dipilih untuk mewakili mereka.
KLP48 menjadikan hijau sebagai warni rasmi diinspirasikan daripada batu jed Malaysia memberikan aura lembut, dan nilai empati.
Menurut Nariaki Terada, Ketua Pegawai Eksekutif Superball Inc selaku penerbit berharap agar KLP48 dapat mencuri perhatian dunia.
“Sangat memdebarkan menyambut legasi pertama KLP48 yang berpangkalan di Malaysia.
“Kami tidak sabar untuk menyaksikan KLP48 memulakan perjalanan pertama mereka,” jelasnya.
Terdahulu, bagi membentuk sebuah kumpulan wanita global yang berpangkalan di Malaysia, 48 Entertainment telah melakukan uji bakat selama tiga bulan bermula Februari tahun ini.
KLP48 merupakan kumpulan yang ditubuhkan untuk meneruskan generasi AKB48 dari Jepun.
Bukan itu sahaja, mereka turut menubuhkan kumpulan JKT48 dari Jakarta, BNK48 di Bangkok, TPE48 di Taipei, Taiwan, MNL48 Filipina dan lain-lain.











