KLANG: Seorang penumpang e-hailing warga Bangladesh maut selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah lori dekat Jalan Bestari, Kapar di sini, hari ini.
Kejadian itu menyebabkan mangsa lelaki dikenali Miah Md. Gholap, 32, meninggal dunia di tempat kejadian.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 12.46 tengah hari.
Katanya, sepasukan lima pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara dikerah dalam operasi menyelamat berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta Proton Persona yang sedang melakukan perkhidmatan e-hailing. Terdapat tiga mangsa termasuk seorang warga Bangladesh yang tersepit di tempat duduk belakang penumpang kereta tersebut,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Ahmad Mukhlis, lelaki itu dikeluarkan bomba dalam tempoh 10 minit dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
“Kemalangan itu turut melibatkan dua mangsa lain yang mengalami kecederaan di kepala. Kesemua mangsa termasuk mayat lelaki warga asing itu dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN










