BALING: Seorang peniaga nasi lemak maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas ketika cuba mengelak penutup lubang jalan di hadapan sebuah restoran makanan segera di Kuala Ketil, Jalan Sungai Petani-Baling, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.17 pagi itu Siti Meriam Nordin, 40, yang beralamat di Kampung Surau Lorong Satu Mukim Siong, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepalanya.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, kejadian berlaku melibatkan sebuah motosikal jenis SYM dan sebuah kereta jenis Proton Persona.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah rumahnya di Tanjung Puteri, Kuala Ketil menghala ke Taman Desa Bidara, Kuala Ketil untuk berniaga.
“Kereta yang dipandu oleh seorang lelaki datang dari arah yang sama iaitu Sg. Petani menghala ke Baling,” katanya hari ini.
Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa yang sedang bergerak lurus di lorong kiri jalan telah terbabas kerana mengelak halangan yang berada di sebelah kiri laluannya iaitu penutup lubang jalan.
Akibatnya, mangsa dan motosikalnya terjatuh di tengah jalan arah ke Baling dan pada masa sama kereta terbabit di belakangnya tidak sempat mengelak lalu menggilis mangsa.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN










