Pengantin lelaki singgah mengundi sebelum bersanding

Pengantin lelaki singgah mengundi sebelum bersanding

MUHAMMAD Syafiq Mohd. Rozei (kanan) bersama isterinya, Munirah Yahya selepas membuang undi di Pusat Mengundi Sk Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Biarpun perlu segera menghadiri majlis persandingan, seorang pengantin, Muhammad Syafiq Mohd Rozei,29, tetap menunaikan kewajipannya untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, hari ini.

Lengkap berpakaian songket berwarna coklat, Muhammad Syafiq tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jawi, di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari iaitu setengah jam sebelum majlis persandingannya bermula.

Hasrat Muhammad Syafiq untuk mengundi pada hari persandingannya itu turut disokong isterinya, Munirah Yahya, 24, yang tiba di SK Jawi kira-kira pukul 12.45 tengah hari, sejurus selesai sesi solekan pada 12.30 tengah hari.

Muhammad Syafiq berkata, dia membuat keputusan untuk menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat di Sungai Bakap walaupun menghadapi kekangan masa kerana majlis persandingannya dijadualkan pada pukul 1 tengah hari.

“Saya bernikah pada bulan lalu dan keluarga memang telah merancang untuk melaksanakan majlis kenduri serta majlis persandingan pada hari ini. Tidak sangka pula tarikhnya jatuh pada hari pengundian.

“Ini merupakan kali ketiga saya mengundi. Walaupun sibuk, saya tetap cari masa untuk laksanakan tanggungjawab sebagai pengundi kerana mahu memilih wakil rakyat baharu bagi kawasan Sungai Bakap,” katanya ketika ditemui di SK Jawi di sini, hari ini.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr. Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Muhammad Syafiq yang merupakan seorang ahli perniagaan berkata, dia bagaimanapun membuat keputusan untuk tidak memakai inai kerana tidak mahu menggangu proses mencalit dakwat selepas mengundi pada hari ini.

“Inai di jari saya memang tidak ada hari ini, tetapi ‘inai’ selepas mengundi ada, dan ia adalah satu perkara yang paling bermakna buat saya.

“Boleh dikatakan tarikh hari ini adalah tarikh keramat yang akan saya dan isteri kenang sepanjang hidup kami kerana tarikh persandingan jatuh pada hari mengundi,” katanya.

Dalam pada itu, Munirah berkata, dia menyokong keputusan suaminya untuk mengundi terlebih dahulu sebelum bergegas ke majlis persandingan mereka.

“Sesi andaman saya selesai kira-kira pukul 12.30 tengah hari dan saya terus ke SK Jawi bagi bersama-sama suami (untuk membuang undi). Selepas selesai barulah kami berdua bergegas pula ke majlis persandingan kami,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN