BATU PAHAT: Penemuan rangka manusia di dalam kebun durian berhampiran Kompleks Penghulu Mukim Linau di tepi jalan Yong Peng- Muar menutup cerita kehilangan pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Parit Raja yang dilaporkan pada 26 Mei lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, ia berikutan hasil ujian DNA Jabatan Kimia pada 4 Julai mengesahkan analisa DNA adalah ibu dan bapa kandung iaitu kebarangkalian keibubapaan adalah 99.99% dengan rangka manusia yang dijumpai.
Katanya, identiti rangka manusia tersebut adalah Hafiz Fauzan Abdul Halid, lelaki Melayu, berumur 16 tahun yang juga pelajar Tingkatan 5 dan beralamat di Bandar Putera Indah, Batu Pahat iaitu mangsa yang dilaporkan keluar rumah sejak 26 Mei lalu.
“Polis mengesahkan menerima profil DNA tersebut dan ia berpadanan dengan spesimen darah kedua ibu bapa Hafiz Fauzan iaitu Abd Halid Sugiman,44, dan isterinya Zuraidah Zainuddin, 45.
“Berikutan itu, kes kehilangan anak ketiga daripada tujuh adik-beradik itu dianggap selesai namun siasatan menjurus kepada kemungkinan melibatkan jenayah masih dilakukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, bapa kepada Hafiz Fauzan, Abdul Halid Sugiman mengesahkan menerima makluman daripada polis bahawa rangka manusia yang ditemui pada 24 Jun baru-baru ini adalah anaknya.
Menurut Abdul Halid, keputusan itu diperolehi kira-kira pukul 4.43 petang selepas dihubungi polis bagi memaklumkan hasil ujian DNA di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.
Ujarnya, proses tuntutan jenazah akan dibuat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat hari ini sebelum dikebumikan di di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Batu 7 Tongkang Pechah. –UTUSAN










