KUCHING: Projek pembinaan Pusat Kanser Sarawak yang baharu, dijangka bermula hujung tahun ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan pusat itu adalah inisiatif kerajaan bagi memenuhi keperluan pesakit kanser di negeri ini yang membelanjakan kos mahal bagi mendapatkan rawatan.
“Jika kita hanya bergantung kepada hospital di Kuala Lumpur, ianya sangat mahal dan rakyat kita mungkin tidak mampu untuk mendapatkan rawatan. Jika seorang pergi, seluruh keluarga akan ikut dan tambang untuk ke sana juga mahal.
“Jadi, inilah yang kerajaan negeri lakukan, menaik taraf kemudahan untuk rakyat kita sendiri dan juga negeri jiran kita.
“Kalau Sarawak ada pusat kanser, pesakit dari Sabah juga boleh datang menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo, tidak payah naik kapal terbang,” katanya berucap dalam Majlis Makan Malam Persidangan Asia Pasifik Kesihatan Awam Kali Ke-8 (8TH APCPH) di sini, malam tadi.
Jelas Abang Johari lagi, kerajaan Sarawak akan membiayai terlebih dahulu kos pembinaan dan Kerajaan Persekutuan akan membayar balik bagi usaha mempercepatkan pelaksanaannya.
Ketika ditemui media selepas majlis berkenaan, Abang Johari turut memberitahu penambahan tiga hospital baharu akan dibina di Sarawak.
“Pusat Pakar Perubatan Normah (NMSC) akan diperbesarkan di mana tempat dan lokasi baharu dengan 300 katil serta kemudahan yang terkini dan ini kepunyaan Sarawak.
“Dua lagi kepunyaan swasta, satunya di kawasan Tabuan dengan 300 katil juga dan kemudahan terkini dari sudut teknologi dan juga peralatan. Satu lagi dekat Batu Lintang. Ini adalah kumpulan luar negara,” jelasnya.
Kata Abang Johari, ketiga-tiga projek itu telah diluluskan dari segi bangunan dan kemudahan lain dan ia akan dibangunkan dalam masa dua tahun. – UTUSAN









