SEPANG: AirBorneo akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan permintaan penumpang dalam tempoh enam bulan pertama operasinya menerusi penawaran tambang mampu milik.
Ini termasuk memperkukuh sektor pelancongan serta pelancongan kesihatan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, strategi itu merupakan antara fokus utama syarikat penerbangan milik kerajaan negeri itu selain melengkapkan pengambilalihan aset MASwings termasuk pesawat ATR sebelum memperluaskan rangkaian penerbangannya.
“Dalam tempoh enam bulan ini, kami sedang meneroka penyediaan perkhidmatan yang mampu milik, khususnya dari segi tambang.
“Tambang ke Kuala Lumpur ditetapkan pada RM375 sepanjang tahun tanpa sebarang turun naik, manakala tambang ke Singapura pula ditetapkan pada RM399. Jika ditukar kepada mata wang Singapura, penumpang hanya perlu membayar kira-kira SGD100 untuk ke Kuching dan menikmati laksa Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Penerbangan Sulung AirBorneo Laluan Kuala Lumpur-Kuching di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.

Terdahulu, penerbangan MY5005 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada pukul 1 tengah hari membawa Premier Sarawak serta Menteri-Menteri Sarawak sebelum disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menngulas lanjut, Abang Johari berkata, usaha tersebut juga dijangka meningkatkan kehadiran pelancong ke Sarawak dengan memanfaatkan tarikan pelancongan sedia ada termasuk dua Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), iaitu Taman Negara Gunung Mulu dan Kompleks Gua Niah serta status Kuching sebagai Bandar Gastronomi UNESCO.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri turut melihat potensi besar sektor pelancongan kesihatan sebagai pemangkin kepada peningkatan jumlah penumpang susulan pembukaan kemudahan hospital baharu di Kuching dan Bintulu.
“Dalam tempoh enam bulan ini, kita akan mempunyai sebuah hospital baharu di Kuching dan sebuah lagi di Bintulu. Kemudahan ini akan menyokong perkhidmatan pelancongan kesihatan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, AirBorneo dijangka memulakan penerbangan ke Jakarta dalam tempoh dua bulan selepas syarikat penerbangan itu diberikan ruang operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Jakarta.
Tambahnya lagi, AirBorneo juga akan beroperasi menggunakan model perniagaan berbeza berbanding syarikat penerbangan lain dengan berperanan sebagai ‘jambatan udara’ (air bridge) bagi menghubungkan Sarawak dengan destinasi utama serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
“Kami mengendalikan AirBorneo menggunakan model yang berbeza. Kami melihat AirBorneo sebagai sebuah jambatan kerana Sarawak berada di sebuah pulau. Sebab itu kami menganggap syarikat penerbangan ini sebagai sebuah ‘jambatan udara’.
“Kerajaan negeri akan menyumbang kepada sebahagian kos tetap, manakala kos operasi pula akan diuruskan secara komersial. Model perniagaan ini berbeza daripada syarikat penerbangan lain dan itulah model Sarawak,” ujarnya. – UTUSAN










