PUTRAJAYA: Pelan Tindakan Agensi Agama Bagi OKU Muslim adalah usaha penting bagi memperkasa komuniti orang kelainan upaya (OKU) merangkumi aspek kehidupan, akidah, akhlak dan ibadah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ia adalah pendekatan holistik memastikan kehidupan OKU beragama Islam diberikan bimbingan, ilmu agama dan pendidikan Islam yang menepati syariah.
Beliau berkata, usaha membangunkan pelan tindakan ini sudah bermula sejak 2020 yang diterajui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Kita harap dengan adanya pelan tindakan ini, kita dapat berjalan selari dengan dasar kerajaan berkaitan pengupayaan OKU.
“Kita nak pastikan aspek kerohanian dalam kalangan OKU dapat dipertingkatkan, tidak ada beza antara mereka yang normal dan OKU untuk melakukan ibadah,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pelan tindakan itu di sini, hari ini.
Katanya, pelan tindakan itu menggariskan lima teras, 12 langkah strategi dan 39 program yang komprehensif, bersasar serta berimpak tinggi kepada golongan OKU untuk dicapai dalam tempoh lima tahun.
Mohd. Na’im berkata, lima teras itu ialah memperkukuhkan dakwah OKU, memantapkan penyelidikan dan inovasi pembangunan OKU, memperkasa pendidikan Islam kepada OKU, mengukuhkan institusi kekeluargaan OKU dan meningkatkan sistem sokongan OKU ke arah pembentukan masyarakat prihatin.
“Pelan ini juga sejajar Dasar OKU Negara, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dan juga semangat Matlamat Pembangunan Mampan bagi memastikan setiap orang tidak akan terpinggir dalam mendapat perkhidmatan yang telah disediakan oleh kerajaan,” katanya.
Pada masa sama, katanya, perbincangan ilmiah antara rakan akademik di institusi pengajian tinggi (IPT) adalah sangat dialu-alukan dalam meneruskan hubungan dua hala demi manfaat golongan sasar khususnya dalam bidang penyelidikan OKU.
“Dalam hal ini, saya berterima kasih kepada kumpulan penyelidik daripada Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang membawa idea asal ini kepada pihak Jakim,” katanya. – UTUSAN










