Pekebun rugi buah durian rosak akibat kera, tupai

Pekebun rugi buah durian rosak akibat kera, tupai

MOHD Zaidi Husain (kiri) dan Nur Hayati Mohd Khosim (kanan) menunjukkan buah-buah durian yang dirosakkan kera serta tupai di Kampung Teluk Temelah, Baling, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Baru seminggu buah durian mulai masak, namun beberapa pemilik kebun di sini mengalami kerugian ribuan ringgit selepas hasil tanaman mereka itu dirosakkan kera dan tupai.

Seorang pemilik kebun, Mohd. Zaidi Husain berkata, lebih 500 biji durian gugur di dusunnya angkara haiwan liar itu dalam tempoh seminggu ini.

“Sedih melihat buah-buah durian yang belum masak sepenuhnya seberat lebih satu kilogram jatuh di tanah akibat perbuatan kera dan tupai.

“Buah-buah ini hampir masak tetapi sayangnya telah rosak. Walaupun buah yang baru berputik ini sedap dibuat sayur tetapi apabila terlalu banyak kami sudah jemu,” katanya ketika ditemui di Kampung Teluk Temelah, semalam.

Menurut Mohd. Zaidi, mereka terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk menakutkan haiwan liar itu termasuk mengetuk tin atau zink di pokok serta melempar mercun untuk menghalaunya.

“Namun, apabila suasana kembali sunyi, kera dan tupai ini datang semula merosakkan buah. Kami telah memohon lesen untuk memiliki senapang tetapi tidak diluluskan.

“Kami sangat berharap pihak berkaitan tampil membantu pekebun-pekebun ini mengatasi masalah haiwan liar yang semakin banyak, jika tidak diatasi segera kemungkinan hasil-hasil pengeluaran buah-buahan semakin merosot,” katanya.

Seorang lagi pemilik kebun, Nur Hayati Mohd. Khosim, 32, berkata, dia dan suami, Asman Mahmud, 38, turut mengalami masalah sama apabila lebih 50 biji durian putik gugur akibat dirosakkan haiwan liar setiap hari.

“Kami terpaksa menebas kawasan kebun ini dan menja­ganya dari pagi hingga ke petang untuk mengawal kehadiran haiwan liar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN