KEMAMAN: Polis akan memanggil seorang pekebun bagi membantu siasatan kes remaja lelaki berusia 13 tahun yang termakan biskut yang dipercayai mengandungi racun di sebuah kebun pisang, di Kampung Dadong, di sini, Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, warga emas lelaki berusia 70 tahun itu dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, petang ini bagi memberi keterangan berhubung kes tersebut.
“Kita telah mengenal pasti pekebun terbabit dan kita akan panggil pekebun untuk memberi keterangan untuk siasatan lanjut.
“Setakat ini, kita telah mengambil keterangan empat individu bagi membantu siasatan dan kita akan lihat sama ada terdapat penglibatan individu lain dan pelbagai aspek akan disiasat,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, di sini, hari ini.
Mangsa yang juga merupakan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dadong di sini dilaporkan stabil selepas menerima.rawatan di Hospital Kemaman.
Hanyan berkata, setakat ini, jenis racun yang dipercayai digunakan pekebun itu untuk menghalau kera dan haiwan liar, masih belum dikenal pasti.
“Kita telah memeriksa lokasi kejadian dan sampel biskut yang dipercayai dicemari racun itu telah dibawa ke Jabatan Kimia untuk dikenal pasti racun yang digunakan,” katanya.
Menurutnya, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 284 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai berkenaan beracun dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 petang pada Jumaat, mangsa, Mohd. Daynail Haikal Alias, 13, terpaksa dikejarkan ke Hospital Kemaman selepas termakan biskut yang dipercayai mengandungi racun ketika melalui sebuah kebun pisang.
Ketika kejadian, mangsa bersama rakannya sedang dalam perjalanan memancing, mengambil biskut yang digantung pada sebatang kayu di pagar kebun tersebut, yang diletakkan pemilik kebun dipercayai untuk menghalau haiwan liar.
Mohd. Daynail Haikal tidak sedarkan diri dan mulutnya berbuih selepas termakan biskut tersebut.
Pada minggu lalu, akhbar melaporkan, dua adik beradik, Muhammad Akil Syauqi dan Muhammad Luth Syauqi masing-masing berusia tiga dan dua tahun maut selepas termakan jajan yang dipercayai mengandungi racun tikus di Kulim, Kedah. – UTUSAN










